
KUALA LUMPUR, 3 November – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempelawa orang ramai menyertai acara Armed Forces Run 2026 yang bakal berlangsung di Dataran Wawasan, Putrajaya pada 20 Disember ini sempena sambutan Hari Ulang Tahun ATM ke-93.
- Tawarkan tiga kategori larian mengikut kemampuan peserta: 3 km, 10 km dan Half Marathon 21 km.
- Penyertaan terbuka kepada semua rakyat Malaysia; pendaftaran dibuka sehingga 30 November menerusi pautan rasmi.
- Acara menggalakkan gaya hidup sihat, mengeratkan hubungan ATM dengan orang ramai; disertakan persembahan sampingan dan cabutan bertuah bernilai lebih RM80,000.
Penganjuran itu menawarkan tiga kategori larian mengikut kemampuan peserta, iaitu Armed Forces Fun Run sejauh tiga kilometer (km), Armed Forces Run 10 km dan Armed Forces Half Marathon 21 km.
Menurut kenyataan ATM, penyertaan terbuka kepada semua rakyat Malaysia, manakala pendaftaran boleh dibuat sehingga 30 November ini menerusi pautan https://checkpointspot.asia/event/armed-forces-run-2026
“Selain menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat melalui aktiviti sukan, acara berkenaan turut menjadi platform mengeratkan hubungan antara ATM dengan orang ramai.
“Peserta juga berpeluang menikmati pelbagai pengisian sampingan termasuk persembahan pentas, persembahan khas dan penyampaian hadiah,” menurut kenyataan itu.
Lebih menarik, penganjur turut menyediakan hadiah cabutan bertuah dengan nilai keseluruhan melebihi RM80,000.
Penganjuran itu selaras dengan usaha ATM memperkukuh hubungan bersama masyarakat menerusi semangat kesukanan dan kebersamaan, bertepatan dengan tema sambutan ulang tahun ke-93, “Ketahanan ATM, Benteng Pertahanan Negara”.