Identiti 69 mangsa nahas tren di Sepanyol dikenal pasti

Keluarga mangsa menanti ketika pasukan forensik menjalankan pemeriksasan dan mengenal pasti identiti mangsa. Foto pada hari kejadian dua tren bertembung (gambar kecil)./ AFP

MADRID, 3 November – Pihak berkuasa Sepanyol mengesahkan identiti kesemua 69 mangsa yang terkorban dalam nahas pertembungan dua tren berkelajuan tinggi minggu lalu, selepas tiga lagi mangsa berjaya dikenal pasti pada Isnin.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tiga mangsa terbaharu ialah dua warga Australia dan seorang warga Jepun, melengkapkan proses pengenalpastian semua mangsa.
  • Operasi pengenalpastian dijalankan polis dan pakar forensik; proses mencabar, keluarga menunggu sedih semasa pemeriksaan termasuk mengenal pasti cebisan anggota.
  • Siasatan awal menunjukkan kegagalan sistem keselamatan automatik, dan pusat kawalan membenarkan tren Renfe meneruskan walaupun Iryo masih di laluan.

Tiga mangsa terbaharu itu terdiri daripada dua warga Australia dan seorang warga Jepun, sekali gus melengkapkan proses pengenalpastian semua mangsa yang terkorban dalam tragedi berkenaan.

Menurut badan khas yang ditubuhkan bagi mengendalikan proses pengenalpastian, operasi itu dilaksanakan oleh pasukan polis dan pakar forensik.

Proses berkenaan mengambil masa dan amat mencabar, malah keluarga mangsa terpaksa menunggu dalam keadaan penuh kesedihan ketika pasukan forensik menjalankan pemeriksaan, termasuk mengenal pasti identiti berdasarkan cebisan anggota badan.

Daripada keseluruhan mangsa, 54 merupakan warga Sepanyol manakala 15 lagi warga asing, termasuk empat rakyat Amerika Syarikat, dua warga Australia, dua warga Jepun serta masing-masing seorang warga Argentina, Kanada, Perancis, Mexico, Portugal, Tunisia dan Republik Czech.

Nahas yang disifatkan antara kemalangan rel paling buruk di Eropah pada abad ini turut mencetuskan persoalan baharu mengenai tahap keselamatan sistem pengangkutan kereta api Sepanyol.

Insiden itu berlaku apabila sebuah tren kendalian syarikat pengendali milik kerajaan, Renfe, merempuh bahagian belakang sebuah tren yang berhenti milik syarikat Iryo di luar perkampungan Urda, kira-kira 130 kilometer ke selatan Madrid.

Siasatan awal melaporkan kegagalan sistem keselamatan automatik menyebabkan perkhidmatan semua tren di laluan sepanjang 63 kilometer dihentikan.

Bagaimanapun, pusat kawalan kemudian membenarkan tren Renfe meneruskan perjalanan ketika tren milik Iryo masih berada di laluan berkenaan.

Tragedi itu turut mengimbau nahas kereta api berkelajuan tinggi di wilayah Andalusia pada Januari lalu yang mengorbankan 46 nyawa, menjadikan insiden terbaharu itu kemalangan pertembungan tren kedua di Sepanyol tahun ini.

Perkembangan berkenaan dijangka terus memberi tekanan kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri Pedro Sanchez, terutama ketika beliau berdepan cabaran politik menjelang pilihan raya umum pada 29 November. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.