Nahas pesawat di Florida: Cuaca buruk jadi fokus siasatan

Foto Viory

GREENACRES CITY, 3 November – Cuaca menjadi antara fokus utama siasatan nahas sebuah pesawat persendirian yang mengorbankan sembilan orang di Florida, Amerika Syarikat (AS), pada Ahad.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pesawat Learjet 60 terhempas di kawasan perumahan Palm Beach County, selatan Florida, menyebabkan kesemua sembilan orang maut.
  • Kru melaporkan gelora udara sederhana dan pembentukan ais; rakaman menunjukkan mereka memohon naik ketinggian dan mengisytiharkan kecemasan MAYDAY.
  • NTSB menyiasat termasuk sama ada pesawat dilengkapi perakam suara kokpit; identiti mangsa belum didedahkan dan pengesahan DNA dijalankan.

Pesawat jenis Learjet 60 itu berlepas dari Austin, Texas menuju North Eleuthera, Bahamas, sebelum terhempas di kawasan perumahan di Palm Beach County, selatan Florida.

Pesawat berkenaan membawa seorang juruterbang, pembantu juruterbang dan tujuh penumpang. Kesemua mereka maut dalam kejadian itu.

Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan AS (NTSB) berkata kru pesawat sempat melaporkan keadaan gelora udara sederhana dan masalah pembentukan ais sebelum pesawat terhempas.

Rakaman komunikasi dengan pengawal trafik udara turut menunjukkan kru meminta kebenaran untuk meningkatkan ketinggian sebelum membuat panggilan kecemasan.

“MAYDAY, MAYDAY, kami sedang menjunam pada kadar 10,000 kaki seminit,” menurut rakaman itu.

Pegawai NTSB, Tom Chapman, mengesahkan komunikasi berkenaan dibuat kepada pengawal trafik udara.

Pihak penyiasat juga sedang meneliti sama ada pesawat itu dilengkapi perakam suara kokpit ketika kejadian.

Penyiasat NTSB, Tim Monville, berkata seorang pemandu kenderaan yang berada berhampiran lokasi nahas turut mengalami kecederaan.

Pihak berkuasa belum mendedahkan identiti kesemua mangsa kerana proses pengesahan melalui ujian DNA masih dijalankan.

Pesawat keluaran Bombardier itu mula beroperasi pada 2004 dan menjalani pengubahsuaian pada 2018. – AFP.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.