
MOYALE, 3 November – Lebih 50,000 penduduk Ethiopia melarikan diri ke negara jiran, Kenya, susulan pertempuran di bahagian selatan negara itu, dengan beberapa sekolah di bandar sempadan Moyale kini dijadikan tempat perlindungan sementara bagi keluarga yang terjejas.
- Pertempuran sempadan antara wilayah Oromia dan Somali mencetuskan keganasan, termasuk pembukaan pejabat pentadbiran dan upacara menaikkan bendera pada 18 Oktober.
- Penduduk dan sekolah di Moyale menjadi tempat perlindungan sementara bagi pelarian, manakala komuniti tempatan membantu keluarga terjejas.
- UNHCR, IOM, UNICEF dan WFP menggerakkan bantuan kecemasan, membina tempat perlindungan dan mohon dana bagi menampung keperluan asas pelarian.
Rakaman yang diambil pada Ahad menunjukkan pelarian dari Ethiopia, termasuk wanita dan kanak-kanak, berlindung di Sekolah Al-Huda di bahagian Kenya berhampiran sempadan kedua-dua negara.
Penduduk Moyale, Hassan Maalim, berkata sudah hampir 12 hari pelarian tiba di kawasan itu selepas meninggalkan kediaman masing-masing bagi menyelamatkan diri daripada keganasan.
Beliau berkata mereka yang mempunyai kenalan atau saudara-mara di kawasan berkenaan menumpang di rumah penduduk, manakala keluarga yang tiada tempat bergantung ditempatkan di bangunan sekolah rendah dan menengah.
“Masalah utama yang kami hadapi ialah pertempuran di seberang sempadan turut memberi kesan kepada kami. Malah, kira-kira sejam lalu, seseorang terbunuh akibat terkena peluru sesat dari Ethiopia.
“Kami rakyat Kenya dan tidak mahu terbabit dalam pertempuran. Kami hanya mahu melindungi serta membantu mereka,” katanya.
Sejak 22 Oktober, semakin ramai penduduk menyeberangi sempadan ke Kenya dan jumlah itu dijangka terus meningkat.
Keluarga yang kehilangan tempat tinggal turut beratur untuk mendaftar dengan pihak berkuasa, yang masih berusaha menentukan jumlah sebenar pelarian memasuki negara itu.
Seorang ibu yang kehilangan tempat tinggal, Ahado Abdirahman, berkata bekalan makanan semakin berkurangan dan keluarga pelarian amat memerlukan bantuan.
“Kami diserang oleh kumpulan Oromo dan melarikan diri dari Gurunesa ke Kenya. Kami mengalami penderitaan yang besar selepas dibom dan ditembak, sehingga terpaksa membawa anak-anak melarikan diri ke Kenya untuk mendapatkan perlindungan.
“Kami berharap keamanan dapat dipulihkan,” katanya.
Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) pada awalnya menganggarkan kira-kira 36,600 orang menyeberangi sempadan, namun pihak berkuasa tempatan kini meletakkan jumlah itu setinggi 50,000 orang, menurut Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNHCR).
UNHCR telah menghantar pasukan kecemasan ke Moyale dan sedang menggerakkan bekalan keperluan asas serta bahan untuk membina tempat perlindungan sementara bagi hampir 12,000 orang.
Bersama Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF), IOM dan Program Makanan Sedunia (WFP), UNHCR turut memohon dana kecemasan sebanyak AS$8.9 juta bagi membantu sehingga 50,000 penduduk yang kehilangan tempat tinggal sepanjang tiga bulan akan datang.
Bantuan itu merangkumi makanan, tempat perlindungan, bekalan air, sanitasi, pendaftaran serta perkhidmatan perlindungan, termasuk bantuan khusus kepada kanak-kanak.
Perpindahan besar-besaran itu berlaku susulan pertempuran baharu antara pasukan dari wilayah Oromia dan Somali di Ethiopia, yang berpunca daripada pertikaian sempadan wilayah berlarutan membabitkan kawasan tanah dan sumber.
Menurut laporan media, keganasan terbaharu tercetus pada 18 Oktober selepas berlaku konfrontasi berhubung pembukaan pejabat pentadbiran wilayah Somali dan upacara menaikkan benderanya di kawasan dipertikaikan di Moyale, Ethiopia. – VIORY.