
BRUSSELS, 3 November – Serangan siber yang disyaki menyasarkan sistem penyejukan pasar raya di sekurang-kurangnya sembilan negara Eropah pada Isnin menyebabkan beberapa premis terpaksa membuang makanan yang rosak selepas suhu peti sejuk meningkat.
- Kesatuan Eropah anggap serangan bertujuan menggugat rantaian bekalan makanan dan menimbulkan kebimbangan keselamatan pengguna.
- Pasar raya di Belgium, Itali, Sweden, Portugal dan negara lain melaporkan gangguan sistem penyejukan.
- Penggodam menyasarkan kawalan jauh dan peralatan lama termasuk model Danfoss, beberapa cawangan menggunakan rangkaian 4G yang lebih terdedah.
- Pihak berkuasa membuka siasatan dan mengadakan mesyuarat keselamatan siber, tiada pihak mengaku bertanggungjawab setakat ini.
Kesatuan Eropah (EU) memberi amaran bahawa serangan itu dipercayai bertujuan mengganggu rantaian bekalan makanan blok berkenaan.
Pasar raya di Belgium, Estonia, Finland, Ireland, Itali, Luxembourg, Belanda, Portugal dan Sweden melaporkan masalah sistem penyejukan susulan insiden berkenaan.
Kejadian itu berlaku tiga minggu selepas serangan siber turut mengganggu operasi pasar raya di Perancis sehingga menyebabkan ratusan premis terpaksa membuang stok makanan yang rosak.
Sehingga kini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap kedua-dua serangan itu.
Pesuruhjaya Makanan dan Pertanian EU, Christophe Hansen berkata, pihaknya memandang serius kejadian berkenaan kerana ia boleh menjejaskan bekalan makanan serta keyakinan pengguna.
Di Itali, sekurang-kurangnya empat pasar raya Coop di Sicily dan sebuah premis di Tuscany terjejas.
Kerajaan negara itu dijadual mengadakan mesyuarat keselamatan siber bersama agensi perisikan pada Selasa.
Ketua Radenza Group, Giuseppe Spadaro yang mengendalikan pasar raya berjenama Coop berkata, serangan berlaku pada kira-kira 4 pagi waktu tempatan itu menyasarkan sistem kawalan jarak jauh bagi bahagian makanan sejuk beku.
Di Belgium, puluhan pasar raya daripada beberapa rangkaian turut mengalami kerosakan sistem penyejukan sehingga menyebabkan pendakwa raya persekutuan membuka siasatan.
Jurucakap Carrefour Belgium, Mich Vergauwen berkata, kira-kira 15 daripada 700 cawangannya terjejas.
Serangan itu turut menjejaskan cawangan Ikea di Mons, manakala rangkaian pasar raya Delhaize, Colruyt dan Intermarche turut melaporkan masalah sama.
Empat cawangan Delhaize di Luxembourg juga terjejas.
Di Ireland, sebanyak 13 cawangan pasar raya Supervalu kendalian Musgrave terjejas, manakala beberapa kedai kecil di Belanda turut mengalami gangguan.
Di Portugal, kumpulan Mosqueteiros mengesahkan tujuh cawangan Intermarche terjejas akibat serangan yang dipercayai menyasarkan penyedia perkhidmatan luar yang mengendalikan sistem penyejukan.
Di Sweden, rangkaian Coop mengesahkan enam daripada kira-kira 800 cawangannya terjejas.
Jurucakapnya, Carlos Cancino berkata, masalah itu telah diselesaikan dan sistem penyejukan kembali beroperasi seperti biasa.
Beliau berkata, pihaknya belum mengenal pasti dalang serangan, namun cawangan terjejas menggunakan rangkaian mudah alih 4G dan bukannya sistem 5G yang lebih baharu, sekali gus menjadikannya lebih terdedah kepada penggodam.
Dalam pada itu, rangkaian pasar raya Sweden, Ica turut melaporkan masalah penyejukan di beberapa cawangannya, namun tidak mengesahkan sama ada ia berpunca daripada serangan siber.
Jurucakap Ica, Helena Johansson berkata, semua premis terjejas menggunakan sistem kawalan penyejukan luar yang dibekalkan pengeluar Denmark, Danfoss.
Syarikat itu turut dikaitkan dengan serangan siber pada 12 Oktober lalu yang menyasarkan pasar raya di Perancis.
Di Finland, beberapa kedai runcit kecil milik kumpulan Kesko turut mengesan perubahan suhu tidak normal pada sistem penyejukan mereka.
Ketua Keselamatan Korporat Kesko, Petri Kayhko berkata, siasatan sedang dijalankan dan kemungkinan gangguan melalui rangkaian komunikasi masih belum diketepikan.
Pakar keselamatan siber Pusat Keselamatan Siber Kebangsaan Finland, Roni Kokkola berkata, kejadian seumpama itu telah berlaku di Eropah sejak beberapa bulan lalu dan penyebarannya ke negara lain selain Perancis bukan sesuatu yang mengejutkan.
Di Estonia, sekurang-kurangnya sebuah pasar raya dilaporkan diserang penggodam yang menaikkan suhu unit penyejukan sehingga 50 darjah Celsius, menurut penyiar awam ERR.
Pengarah Kitman Coldtech, Jann Mutso berkata, unit terjejas merupakan model lama keluaran Danfoss yang serupa dengan peralatan yang disasarkan dalam serangan di Perancis. – AFP.