
KUALA LUMPUR, 3 November – Penduduk di kawasan berisiko banjir diingatkan supaya membuat persediaan awal dan segera berpindah apabila diarahkan, tanpa menunggu keadaan menjadi kritikal sepanjang Monsun Timur Laut (MTL).
- Hujan lebat petang boleh mencetuskan banjir kilat, tanah runtuh serta kejadian pokok tumbang.
- Sentiasa peka terhadap notis amaran pihak berkuasa dan buat persediaan awal apabila hujan lebat.
- Jangan meredah laluan yang dinaiki air deras kerana ia boleh mengancam nyawa dan keselamatan.
- Komuniti kawasan kerap dilanda banjir perlu adakan perbincangan dan rancang pelan tindakan kecemasan.
Pengarah Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kol. (PA) Mohd Adzhar Mujab berkata, hujan lebat khususnya pada sebelah petang berpotensi mencetuskan banjir kilat, tanah runtuh serta kejadian pokok tumbang.
“Justeru, masyarakat khususnya penduduk di kawasan berisiko banjir diminta sentiasa peka terhadap notis amaran yang dikeluarkan pihak berkuasa serta membuat persediaan awal sekiranya berlaku hujan lebat, terutama pada sebelah petang.
“Langkah itu penting bagi mengelakkan penduduk hanya bertindak berpindah apabila keadaan sudah cemas, sekali gus mengurangkan risiko kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda,” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri, Kota Media di sini, hari ini.
Dalam masa sama, orang ramai turut diingatkan supaya tidak mengambil risiko meredah jalan yang dinaiki air deras kerana tindakan itu boleh mengancam nyawa.
“Penduduk juga dinasihatkan supaya tidak mengambil risiko meredah laluan yang dinaiki air, terutama apabila arus deras, kerana tindakan itu boleh mengundang bahaya serta menyebabkan kecemasan dan kemalangan,” katanya.
Beliau turut menyarankan komuniti di kawasan kerap dilanda banjir mengadakan perbincangan dan merangka pelan tindakan kecemasan lebih awal bagi memastikan setiap penduduk mengetahui langkah keselamatan yang perlu diambil.