
KUALA LUMPUR, 10 September – Skuad wushu negara membidik dua pingat menerusi empat acara yang dikenal pasti berpotensi menyumbang pingat pada Sukan Asia-Nagoya 2026.
- Datuk Chong Kim Fatt berkata sasaran diubah selepas perkembangan positif dan kem latihan dua bulan di China.
- Tujuh atlet akan menggalas cabaran negara, sebagai sebahagian pelan jangka panjang menuju Sukan SEA 2027 di Malaysia.
- Komposisi pasukan 50 peratus atlet baharu dan 50 peratus atlet lama; harapan kepada Tan Chong Ming sumbang pingat.
- Aspek kecergasan dan pemulihan diberi tumpuan melalui fisioterapi, akupunktur dan sokongan perubatan selepas latihan intensif.
Presiden Persekutuan Wushu Malaysia, Datuk Chong Kim Fatt berkata, perubahan sasaran itu dibuat berdasarkan perkembangan positif barisan atlet selepas menjalani persiapan rapi, termasuk kem latihan selama dua bulan di China.
“Setakat ini, kita menetapkan sasaran satu pingat. Namun, selepas perbincangan tadi, ada kemungkinan kita boleh meraih dua pingat.
“Apa pun, kita akan cuba memberikan yang terbaik untuk Malaysia,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Sukan Negara (MSN) di ibu negara, hari ini.
Tujuh atlet akan menggalas cabaran negara pada temasya Aichi-Nagoya, dengan persiapan turut dirangka sebagai sebahagian daripada pelan jangka panjang menuju Sukan SEA 2027 di Malaysia.
Empat acara mempunyai prospek untuk menyumbang pingat, selain menampilkan gabungan atlet baharu dan berpengalaman.
“Pasukan kita kali ini terdiri daripada 50 peratus atlet baharu dan 50 peratus atlet lama. Kita juga harap Tan Chong Ming mampu menyumbang satu atau dua pingat menerusi acara yang disertai,” katanya lagi.
Bagi memastikan atlet berada pada tahap terbaik, aspek kecergasan dan pemulihan turut diberi perhatian menerusi rawatan fisioterapi, akupunktur serta sokongan perubatan selepas menjalani latihan intensif.
Kontinjen Malaysia menetapkan sasaran sebanyak 33 pingat keseluruhan dengan enam pingat emas, tujuh perak dan 20 gangsa pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 yang dijadualkan berlangsung dari 19 September hingga 4 Oktober ini.