Skuad padel negara sedia beraksi pada Sukan Asia 2026

Christian Didier (kiri) dan Aidan Yunus

PETALING JAYA, 10 September – Skuad padel negara menyasarkan sekurang-kurangnya mara ke peringkat separuh akhir sekali gus dapat menyumbang pingat buat kontinjen Malaysia menjelang penampilan sulung acara berkenaan pada temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Aidan Yunus dan Christian Didier teruja beraksi di pentas Asia, merealisasikan impian setahun lalu.
  • Persiapan rapi: latihan intensif dua hingga tiga bulan untuk tingkatkan keserasian dan mutu permainan.
  • Sertai siri Jelajah FIP di Asia, Eropah dan Afrika Selatan untuk pendedahan menentang pemain bertaraf dunia.
  • Kenali ancaman: biasa dengan jiran serantau, namun beri tumpuan khas kepada Arab Saudi, Bahrain dan tuan rumah Jepun.

Dua wakil negara, Aidan Yunus dan Christian Didier Chin meluahkan keterujaan mereka selepas impian yang dibina sejak setahun lalu untuk beraksi di pentas terbesar Asia itu akhirnya menjadi kenyataan.

Menurut Aidan, persiapan rapi telah dilalukan sepanjang tiga bulan lalu demi memastikan keserasian serta kualiti permainan dapat dipertingkatkan sebelum turun bertanding.

“Persiapan lancar dan sangat baik. Kami telah berlatih bersunguh-sungguh sepanjang dua hingga tiga bulan ini, saling menyokong dan memperbaik mutu permainan bersama.

“Kami sudah tidak sabar untuk bertanding dan amat bersemangat menjelang temasya,” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi lawatan ketua kontinjen ke Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di sini hari ini

Bagi memantapkan lagi persembahan, kedua-dua pemain berkenaan aktif menyertai kejohanan antarabangsa menerusi siri Jelajah Persekutuan Padel Antarabangsa (FIP) di sekitar Asia, Eropah dan Afrika Selatan.

Pendedahan menentang pemain berkelas dunia itu bukan sahaja memberikan pengalaman berharga, malah melonjakkan tahap keyakinan mereka untuk berdepan cabaran di peringkat tertinggi.

Mengulas mengenai saingan yang bakal dihadapi, Aidan turut mengakui sudah biasa dengan corak permainan negara jiran seperti Filipina, Indonesia, Singapura.

Namun, tentangan daripada negara Asia Barat seperti Arab Saudi dan Bahrain tetap perlu diberi perhatian khusus.

“Sasaran kami adalah untuk melangkah ke peringkat separuh akhir dan membawa pulang pingat. Ia pasti satu pencapaian yang menakjubkan dan kami akan memberikan aksi terbaik,” kata Aidan.

Dalam pada itu, Christian turut menyifatkan tuan rumah, Jepun sebagai antara pencabar terkuat memandangkan mereka dibarisi pemain berpengalaman dalam sukan berkenaan.

“Jepun bakal beraksi di tempat sendiri dan menghantar dua pasukan yang sangat berpengalaman. Walaupun tugas sukar menanti, kami tetap optimis dan akan berjuang habis-habisan untuk mengatasi mereka demi menaikkan nama Malaysia,” katanya.

Terdahulu, sukan padel secara rasmi akan membuat penampilan sulung sebagai acara pingat dalam temasya Sukan Asia ke-20 di Aichi-Nagoya, Jepun yang dijadualkan berlangsung bermula 19 September hingga 4 Oktober ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.