Siti Zulaikha tepati ramalan, gondol emas perseorangan wanita SUKMA

Foto RTM

SHAH ALAM, 24 Ogos – Siti Zulaikha Muhammad Azmi Tan membuktikan ketenangan menjadi senjata utama apabila menewaskan wakil Wilayah Persekutuan, Lee Kay Xin 21-12, 21-15 dalam aksi akhir perseorangan wanita untuk menghadiahkan pingat emas kepada Melaka pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Siti Zulaikha bersyukur, kekal tenang dan kawal tekanan sepanjang perlawanan.
  • Persiapan mental menjadi keutamaan untuk memastikan tekanan tidak menjejaskan prestasi.
  • Kemenangan ini memupuk keyakinan menjelang kejohanan akan datang, termasuk Indonesia Super 100.

Turun sebagai pemain pilihan pertama, Siti Zulaikha tidak membenarkan tekanan menjejaskan fokusnya, sebaliknya mengawal permainan dengan baik untuk menamatkan perlawanan dalam straight set.

“Saya bersyukur, Alhamdulillah sebab dapat membawa pulang emas untuk Melaka.

“Untuk perlawanan hari ini, saya pilihan pertama di sini, jadi banyak tekanan apabila menentang pemain junior. Saya cuba kekal tenang dan mengawal tekanan,” katanya.

Jelas beliau, persiapan mental menjadi keutamaan sebelum perlawanan bagi memastikan tekanan yang dihadapi tidak menjejaskan prestasinya di gelanggang.

“Saya hanya buat persediaan dari segi mental kerana banyak tekanan yang saya hadapi. Alhamdulillah, saya dapat buat yang terbaik,” katanya.

Jelas beliau, kemenangan berkenaan turut menjadi pembakar semangat buat Siti Zulaikha untuk tampil lebih yakin dalam kejohanan akan datang, termasuk Indonesia Super 100.

Sementara itu, pingat gangsa pula menjadi milik wakil Perak, Lee Mun yang menang dua set langsung 21-17, 21-17 ke atas pemain tuan rumah, Eng Ler Qi.

 

 

 

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.