
SHAH ALAM, 24 Ogos – Pemain perseorangan lelaki Selangor, Muhammad Haziq Mohd Najib mencipta kejutan apabila menamatkan penampilan terakhirnya di pentas Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 dengan menghadiahkan pingat emas kepada kontinjen Selangor.
- Menewaskan Ayu Fu Sheng 21-12, 15-21, 21-15 dalam aksi akhir di Pusat Konvensyen Setia City.
- Masuk sebagai bukan pilihan utama, bermain dengan tawakal dan fokus pada kemampuan sendiri selepas melihat undian sukar.
- Prestasi SUKMA buka peluang panggilan pemilihan BAM pada September, berstatus pemain bebas dan bertekad tidak mensia-siakan peluang.
Muhammad Haziq menewaskan wakil Negeri Sembilan, Ayu Fu Sheng, 21-12, 15-21, 21-15 dalam aksi akhir acara perseorangan lelaki yang berlangsung penuh debaran di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam, di sini, hari ini.
Datang dengan status bukan pilihan utama, pemain berusia 21 tahun itu mengakui dirinya tidak menyangka mampu bergelar juara selepas melihat undian kejohanan yang disifatkannya sukar.
“Saya sendiri tidak menyangka dapat meraih emas. Apabila melihat undian, saya merasakan saingan agak sukar. Jadi, saya hanya bertawakal, reda dan bermain dengan kemampuan yang ada,” katanya.
Perlawanan akhir itu turut menguji ketahanan mental Muhammad Haziq apabila dia terlebih dahulu menguasai set pertama 21-12, sebelum Fu Sheng bangkit memenangi set kedua 21-15.
Bagaimanapun, Muhammad Haziq meneruskan kecemerlangan untuk mengawal setiap mata pada set penentuan.
“Pada set penentuan, saya hanya dengar arahan jurulatih supaya fokus pada setiap mata. Apabila sudah mendahului, saya perlu kekalkan kelebihan dan tidak membenarkan lawan mengejar,” katanya.
Menurut wakil Selangor itu, dia juga tidak memikirkan status lawan atau latar belakang program Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ketika turun ke gelanggang, sebaliknya hanya memberi tumpuan kepada permainannya sendiri.
Pingat emas itu kini menjadi pencetus semangat buat Muhammad Haziq yang masih berstatus pemain bebas untuk merealisasikan impian menyertai BAM dan menggalas cabaran negara.
Impian itu semakin terbuka selepas seorang jurulatih kebangsaan memintanya menghadiri sesi pemilihan pada September ini, susulan peningkatan prestasinya pada saingan SUKMA kali ini.
“Mungkin sasaran saya nak masuk BAM. Saya nak bawa dan banggakan negara. Itu saja,” katanya.
Muhammad Haziq sebelum ini pernah menjalani percubaan bersama BAM selama kira-kira dua minggu pada tahun lalu, namun tidak menerima sebarang perkembangan selepas itu.
Kali ini, beliau berjanji tidak akan mensia-siakan peluang sekiranya dipanggil menjalani pemilihan sekali lagi.
Bagi Muhammad Haziq, pingat emas SUKMA Selangor bukan sekadar penamat indah di temasya itu, malah mungkin menjadi tiket untuk membuka pintu ke pentas lebih besar bersama negara.