Dua gol Salah buat Trabzonspor raih kemenangan pertama musim ini

Foto REUTERS

ISTANBUL, 24 Ogos – Mohamed Salah membuka akaun jaringannya dalam Liga Super Turkiye dengan dua gol untuk membantu Trabzonspor menewaskan Istanbul Basaksehir 2-1, sekali gus membolehkan pasukan berkenaan meraih kemenangan pertama musim ini pada Ahad.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mohamed Salah menyertai Trabzonspor secara percuma selepas meninggalkan Liverpool musim ini.
  • Beliau membuat penampilan kali pertama dalam kesebelasan utama dan hampir melengkapkan hatrik; dua golnya dibatalkan.
  • Perlawanan itu memberi suntikan semangat menjelang aksi timbal balik playoff Liga Europa menentang Ferencvaros; perlu bangkit selepas kekalahan 0-1.

Salah, 34, yang menyertai Trabzonspor secara percuma selepas meninggalkan Liverpool musim ini turut menyumbat dua gol lain yang dibatalkan pada aksi berkenaan.

Salah yang membuat penampilan sebagai pemain kesebelasan utama buat kali pertama, membuka jaringan pada minit kelapan selepas penjaga gol Basaksehir, Muhammed Sengezer gagal menangkap kemas rebatan derasnya.

Bagaimanapun, kelebihan itu hanya bertahan 11 minit apabila Eldor Shomurodov menyamakan kedudukan buat Basaksehir menerusi sepakan penalti pada minit ke-19.

Salah kemudian kembali meletakkan Trabzonspor di depan tiga minit selepas babak kedua bermula apabila beliau melakukan larian pantas di sebelah kanan sebelum bertukar hantaran dengan Ernest Muci dan melepaskan rembatan ke penjuru gawang.

Pemain sayap itu hampir melengkapkan hatrik, namun dua percubaannya tidak dikira.

Jaringannya pada masa kecederaan dibatalkan kerana berlaku kekasaran.

Manakala satu lagi gol turut dibatalkan kerana ofsaid selepas beliau memanfaatkan keadaan penjaga gol lawan yang meninggalkan gawang ketika mengambil sepakan penjuru.

Kemenangan itu memberikan suntikan semangat kepada Trabzonspor menjelang aksi timbal balik playoff Liga Europa menentang Ferencvaros di tempat lawan pada Khamis.

Trabzonspor perlu bangkit daripada kekalahan 0-1 dalam aksi pertama di laman sendiri untuk meneruskan cabaran ke peringkat seterusnya. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.