Kuasai teknologi moden tanpa abai akidah, akhlak – PM

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 6 Oktober – Umat Islam diseru menguasai teknologi moden termasuk kecerdasan buatan (AI), namun pada masa sama tidak mengabaikan prinsip akidah, akhlak dan nilai-nilai murni agama.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penguasaan ilmu baharu penting agar tidak tercicir dalam arus pembangunan global.
  • Pemanfaatan teknologi mesti berteraskan kekuatan iman dan tradisi keilmuan Islam, bukan meniru pengaruh luar bulat-bulat.
  • Kekalkan nilai akidah dan akhlak; bawa perubahan demi kebaikan dan rahmat untuk semua.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penguasaan ilmu baharu amat penting bagi memastikan umat Islam tidak terus tercicir dalam arus pembangunan global.

Bagaimanapun, pemanfaatan teknologi moden perlu berteraskan kekuatan iman serta tradisi keilmuan Islam (turath), dan bukan sekadar menciplak pengaruh luar secara bulat-bulat.

“Nilai kita mesti kita pertahankan. Jangan kerana mengejar perubahan dan menginginkan ilmu baharu, kita meninggalkan prinsip akidah dan akhlak sehingga sahsiah kita tersisih daripada landasan sebagai seorang Muslim yang baik.

“Sebab itu dalam mengejar perubahan, kita tidak boleh lari daripada semangat untuk membawa kebaikan dan rahmat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pembukaan Perasmian Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-66 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.