
BAITULMAQDIS, 6 Oktober – Jentolak Israel pada Selasa merobohkan sebuah bangunan kediaman lima tingkat di Baitulmaqdis Timur yang diduduki kira-kira 70 orang, dalam tindakan yang disifatkan pihak berkuasa tempatan Palestin sebagai pengusiran paksa.
- Menteri Keselamatan Israel mendakwa bangunan tersebut dibina tanpa permit.
- Gabenor dan pihak berkuasa Palestin mengecam perobohan sebagai peningkatan bahaya dan pemindahan paksa yang mengubah realiti demografi.
- Penduduk diberi notis Isnin, diarah keluar dalam 10 minit dengan ancaman senjata, dibenarkan bawa ubat, wang, beg tangan dan kad pengenalan.
Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben Gvir mendakwa kononnya bangunan berkenaan dibina tanpa permit.
Baitulmaqdis Timur yang padat dengan penduduk berdepan krisis perumahan yang serius berikutan permit pembinaan hampir mustahil diperoleh daripada pihak berkuasa Israel.
Gabenor Baitulmaqdis, pihak berkuasa tempatan Palestin bagi kawasan itu mengecam perobohan berkenaan yang disifatkannya sebagai peningkatan berbahaya dalam dasar merobohkan rumah dan pemindahan secara paksa serta membentuk realiti demografi dan perbandaran baharu.
Hanine Hreibat, seorang guru dan ibu kepada empat anak yang menyewa salah sebuah daripada 10 unit kediaman di bangunan itu memaklumkan sejumlah besar anggota polis Israel tiba di kawasan At-Tur pada awal pagi, diiringi tiga jentolak.
Beliau berkata, anggota polis menyerbu unit-unit kediaman dan memberi penduduk masa 10 minit untuk keluar dengan senjata diacukan ke kepala.
Polis hanya membenarkannya mengambil ubat, wang, beg tangan dan kad pengenalan.
Hreibat berkata beliau tidak mempunyai tempat untuk dituju selepas bangunan itu dirobohkan.
“Kami akan mencari rumah lain. Hari ini kami di rumah keluarga mentua dan esok di rumah ibu bapa saya,” katanya.
Penduduk mengesahkan kepada AFP bahawa mereka menerima notis perobohan pada Isnin, namun tidak mengetahui bila tindakan itu akan dilaksanakan.
Israel secara berkala merobohkan struktur yang dibina oleh penduduk Palestin di Baitulmaqdis Timur dan Tebing Barat yang diduduki.
Lebih 360,000 penduduk Palestin tinggal di Baitulmaqdis Timur bersama kira-kira 230,000 warga Israel. -AFP