EU sedia hantar pemerhati bagi pilihan raya Palestin

Foto AFP

BRUSSELS, 6 Oktober – Kesatuan Eropah (EU) bersedia menghantar pemerhati pilihan raya bagi memantau pilihan raya legislatif Palestin yang dijadual berlangsung bulan depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Presiden Mahmoud Abbas menetapkan pilihan raya legislatif pada 28 November, pilihan raya pertama dalam dua dekad jika dilaksanakan.
  • Pilihan raya merupakan tuntutan reformasi antarabangsa dan menerima sokongan kewangan EU kepada Pihak Berkuasa Palestin di Ramallah.
  • Pelaksanaan berdepan cabaran logistik besar akibat serangan Israel di Gaza, Baitulmaqdis Timur dan Tebing Barat yang diduduki sejak 1967.

Ketua Dasar Luar EU, Kaja Kallas berkata, rakyat Palestin berhak memilih wakil mereka menerusi pilihan raya yang boleh dipercayai, inklusif dan telus.

“Selepas hampir 20 tahun tanpa pilihan raya parlimen, pilihan raya ini akan memberi peluang yang sekian lama tertangguh untuk memperbaharui legitimasi institusi Palestin,” katanya menerusi hantaran dalam talian selepas mengadakan perbincangan dengan Naib Presiden Palestin, Hussein Al-Sheikh.

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menetapkan pilihan raya legislatif itu pada 28 November. Jika dilaksanakan, ia akan menjadi pilihan raya pertama seumpamanya dalam tempoh dua dekad.

Pelaksanaan pilihan raya merupakan antara reformasi yang dituntut masyarakat antarabangsa, termasuk EU yang memberikan sokongan kewangan kepada Pihak Berkuasa Palestin yang berpusat di Ramallah.

Pilihan raya legislatif terakhir di wilayah Palestin berlangsung pada 2006, ketika Hamas memenanginya dengan menewaskan parti Fatah pimpinan Abbas yang sebelum itu mendominasi politik Palestin.

Susulan itu, Majlis Perundangan Palestin, iaitu badan parlimen Pihak Berkuasa Palestin pimpinan Abbas tidak bersidang sejak 2007.

Pada April lalu, rakyat Palestin mengundi bagi memilih ketua majlis perbandaran di Tebing Barat yang diduduki dalam pilihan raya pertama sejak tercetusnya perang Gaza pada Oktober 2023.

Bagaimanapun, pilihan raya legislatif itu berdepan cabaran logistik besar susulan serangan Israel di Gaza, selain di Baitulmaqdis Timur dan Tebing Barat yang diduduki rejim Zionis sejak 1967.

Di bawah gencatan senjata yang dipersetujui hasil pengantaraan Amerika Syarikat pada Oktober 2025, sebuah jawatankuasa teknokratik ditubuhkan untuk mentadbir Gaza, namun ia masih belum memasuki wilayah Palestin itu. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.