Sesi Pit Lane Walk F1 Bahrain GP Malaysia, tarik ribuan peminat ke SIC

Foto RTM

SEPANG, 1 Oktober – Keterujaan terhadap kembalinya Formula 1 (F1) ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) jelas terasa apabila ribuan peminat tempatan dan antarabangsa membanjiri sesi Pit Lane Walk Formula 1 (1) Gulf Air Bahrain Grand Prix Malaysia 2026 hari ini, sehari sebelum perlumbaan itu membuka tirainya secara rasmi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peminat sanggup beratur panjang untuk melihat garaj pasukan dan bertentang mata dengan pelumba ternama.
  • Kehadiran pelbagai usia termasuk keluarga menonjolkan minat rakyat terhadap sukan permotoran.
  • Tiket MADANI dipuji kerana menjimatkan dan membuka peluang keluarga menikmati acara bertaraf antarabangsa.
  • Generasi muda sanggup terbang dan menunggu berjam-jam untuk menyaksikan pelumba kegemaran seperti Kimi dan George.

Tinjauan RTM mendapati peminat sanggup beratur panjang demi mendapatkan peluang meninjau lebih dekat garaj pasukan dan melihat sendiri kelibat pelumba ternama dunia.

Kehadiran peminat daripada pelbagai peringkat usia turut menyerlahkan keterujaan terhadap kepulangan F1 ke Sepang selepas kira-kira sembilan tahun, dengan ada yang hadir bersama keluarga dan ada yang sanggup melakukan perjalanan jauh semata-mata untuk menyaksikan acara berkenaan.

Antara yang hadir ialah Mohd Ameer Yuslan Razmi yang membawa anak-anaknya berkongsi minat terhadap sukan permotoran yang dipupuknya sejak 2008.

Beliau turut menyambut baik pengenalan Tiket MADANI yang disifatkannya membantu lebih ramai keluarga menikmati pengalaman menyaksikan acara bertaraf antarabangsa itu.

“Inisiatif Tiket MADANI ini amat wajar dipuji kerana ia bukan sahaja menjimatkan, malah membuka ruang kepada golongan keluarga untuk membawa anak-anak merasai sendiri pengalaman berharga di litar bertaraf dunia ini,” katanya.

Bagi pasangan suami isteri dari Selangor, Hareth Isaac dan Sabrina, kunjungan sulung ke SIC memberi pengalaman baharu, termasuk menikmati suasana dan dekorasi yang ditampilkan bersempena penganjuran perlumbaan berkenaan.

“Dekorasinya agak unik kerana mengetengahkan elemen Bahrain selaku penganjur. Namun, kami juga berharap pada masa hadapan, suntikan elemen tempatan dan pengaruh Malaysia dapat diperbanyakkan lagi,” jelas Hareth.

Kemeriahan di SIC turut diserikan dengan kehadiran generasi muda dari segenap pelosok negara, termasuk Gary Ong Wei Hong dari ibu negara dan Samuel Leong yang terbang khas dari Miri, Sarawak.

Sementara itu, generasi muda turut tidak melepaskan peluang menyertai Pit Lane Walk, termasuk Gary Ong Wei Hong dari Kuala Lumpur dan Samuel Leong dari Miri, Sarawak.

Mereka sanggup menunggu berjam-jam untuk melihat lebih dekat pelumba pilihan masing-masing dengan Kimi dan George antara nama yang paling dinantikan.

“Ini tahun pertama saya menonton F1 secara langsung memandangkan ia kembali diadakan di Malaysia. Ia satu pengalaman yang agak baharu buat kami, namun kami amat teruja kerana kali terakhir F1 diadakan di Sepang adalah kira-kira sembilan tahun lalu.”

“Kami sanggup beratur berjam-jam demi menantikan sesi Pit Lane Walk ini. Pelumba kegemaran yang paling ingin saya saksikan sudah pastinya Kimi (Antonelli) dan George (Russell),” kata Hareth.

Kehadiran luar biasa peminat daripada pelbagai latar belakang dan usia sekali gus menyerlahkan sambutan terhadap penganjuran F1 di Sepang serta minat berterusan masyarakat terhadap sukan permotoran.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.