F1 Gulf Air Bahrain: Hamilton, Verstappen beraksi di barisan hadapan esok

Pelumba Ferrari, Lewis Hamilton (kiri) dan Max Verstappen (kanan)/Foto RTM

SEPANG, 3 Oktober — Pelumba Ferrari, Lewis Hamilton akui terkejut apabila berjaya mengesahkan tempat kedua dan barisan hadapan untuk perlumbaan Formula One Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia, selepas pasukannya pada awalnya menjangkakan hanya mampu berada dalam kelompok kelima atau keenam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hamilton catat 1 minit 35.428 saat pada kelayakan, ketinggalan 0.298 saat kepada pemegang petak utama, Max Verstappen.
  • Ferrari perbaiki keseimbangan jentera melalui perubahan tetapan, Hamilton puji kerja keras mekanik dan jurutera.
  • Kekurangan kelajuan di laluan lurus sekitar tiga hingga empat persepuluh saat; pasukan fokus maksimakan prestasi di selekoh.

Hamilton mencatat masa 1 minit 35.428 saat pada sesi kelayakan di Litar Antarabangsa Sepang hari ini, ketinggalan 0.298 saat daripada pemegang petak utama, Max Verstappen.

Juara dunia tujuh kali itu berkata, keputusan berkenaan hadir selepas Ferrari melakukan beberapa perubahan terhadap jentera sepanjang hujung minggu.

“Ya, sememangnya mengejutkan. Kami pada awalnya menjangkakan berada di tempat kelima atau keenam sepanjang hujung minggu,” katanya selepas sesi kelayakan di Sepang hari ini.

Hamilton turut memuji usaha mekanik dan jurutera Ferrari yang berjaya menghasilkan keseimbangan lebih baik pada jentera itu ketika sesi kelayakan.

Katanya, perubahan kecil pada tetapan mampu menghasilkan perbezaan besar terhadap prestasi, terutama di litar yang menuntut ketepatan tinggi seperti Sepang.

“Kereta terasa hebat dan kami melakukan banyak perubahan. Ini hasil kerja keras mekanik dan jurutera yang melakukan tugas dengan sangat baik,” katanya.

Bagaimanapun, Hamilton akui Ferrari masih berdepan kekurangan kelajuan di laluan lurus berbanding Red Bull Racing.

Menurutnya, Ferrari kehilangan kira-kira tiga hingga empat persepuluh saat di laluan lurus, sekali gus memaksa pasukan memaksimumkan prestasi ketika melalui selekoh.

“Satu-satunya kawasan kami kehilangan masa adalah di laluan lurus. Kami kehilangan tiga atau empat persepuluh saat kepada mereka, jadi kami cuba memaksimumkan prestasi di selekoh dan saya rasa kami berjaya melakukannya hari ini,” katanya.

Hamilton turut menjelaskan betapa sensitifnya jentera Formula 1 terhadap perubahan kecil pada tetapan, termasuk pelarasan sayap hadapan dan ketinggian jentera.

Menurutnya, perubahan sekecil satu klik pada sayap hadapan atau satu milimeter pada ketinggian jentera boleh mengubah keseimbangan serta prestasi kereta dengan ketara.

Hamilton akan bermula di barisan hadapan bersama Verstappen pada perlumbaan esok.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.