Selangor FC mula rangka strategi musim depan bersama Pan-gon

FOTO RTM

KLANG, 23 April Selangor FC sudah memulakan persiapan awal bagi menghadapi saingan musim hadapan dengan mengekalkan khidmat ketua jurulatih, Kim Pan-gon, sekali gus menamatkan spekulasi mengenai status pengendali tersebut.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengurusan giat berbincang dengan Kim Pan-gon merancang hala tuju jangka panjang pasukan.
  • Pelantikan jurulatih sebahagian daripada visi besar kelab untuk bina skuad yang bersaing konsisten di peringkat tertinggi.
  • Kontrak beliau adalah jangka panjang dan bukan langkah jangka pendek.
  • Fokus utama musim ini termasuk mengejar tempat akhir ACC Shopee Cup dan baki tiga perlawanan Liga Super, termasuk separuh akhir menentang Nam Dinh FC.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Johan Kamal Hamidon menjelaskan bahawa pihak pengurusan kini giat berbincang dengan Pan-gon bagi merencana hala tuju pasukan untuk memastikan kesinambungan prestasi Gergasi Merah bagi tempoh jangka masa panjang.

Beliau berkata, pelantikan pengendali kelahiran Korea Selatan itu bukan sekadar penyelesaian segera, sebaliknya merupakan sebahagian daripada visi besar kelab untuk membina sebuah skuad yang mampu bersaing secara konsisten di peringkat tertinggi.

“Kita memang sudah mula merancang bersama Coach Kim Pan-gon untuk tahun depan dan apa yang perlu dilakukan. Kontrak beliau bersama Selangor FC sebenarnya adalah kontrak jangka panjang. Sejak awal kita menandatangani beliau, ia bukan untuk langkah jangka pendek,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UMW Lubetech dan Sani Express di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Dr. Johan menegaskan bahawa komitmen Pan-gon terhadap tugasan musim ini tetap menjadi keutamaan memandangkan kelab masih mempunyai beberapa sasaran kritikal yang perlu dicapai.

“Coach Kim masih fokus sepenuhnya untuk musim ini kerana banyak perlawanan penting perlu dimainkan. Kita mahu menamatkan saingan liga sekuat mungkin kerana dalam bola sepak, apa sahaja boleh berlaku,” jelas beliau.

Gergasi Merah kini dalam misi penting memburu slot ke perlawanan akhir Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) Shopee Cup, di samping mengharungi baki tiga perlawanan terakhir saingan Liga Super.

Selangor FC dijadualkan berdepan ujian getir menentang wakil Vietnam, Nam Dinh FC, dalam aksi timbal balik separuh akhir bulan depan bagi merebut tiket ke pentas akhir kejohanan serantau berkenaan.