
UTAH, 23 April – Luis Suarez meledak gol pertamanya dalam saingan Major League Soccer (MLS) musim ini ketika penyandang juara, Inter Miami bangkit untuk menewaskan Real Salt Lake 2-0, pada Rabu.
- Rodrigo De Paul menjaringkan rembatan cantik pada minit ke-82, memecah kebuntuan selepas sepak sudut gagal diselamatkan.
- Messi sering mencipta peluang berbahaya namun gagal menewaskan penjaga gol Rafael Cabral; pasukan terpaksa bergantung pada rakan sepasukan.
- Kemenangan kedua berturut-turut di bawah jurulatih sementara Guillermo Hoyos, Miami kini kedua Konferensi Timur, satu mata di belakang Nashville.
Pada perlawanan berkenaan Messi dilihat kerap mencipta peluang berbahaya namun buntu untuk menewaskan penjaga gol Real Salt Lake, Rafael Cabral dan terpaksa bergantung kepada rakan senegaranya, Rodrigo De Paul untuk memecah kebuntuan pada minit ke-82.
Rembatan kencang De Paul susulan sepakan sudut gagal diselamatkan Cabral sebelum menerjah penjuru kanan gawang.
Suarez yang dibawa masuk sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua mengesahkan kemenangan seminit kemudian selepas menyambar hantaran German Berterame menerusi rembatan kaki kiri.
“Saya rasa kami bermain dengan hebat pada separuh masa pertama,” kata De Paul kepada Apple TV selepas Miami mencatatkan kemenangan kedua berturut-turut di bawah kendalian jurulatih sementara, Guillermo Hoyos.
“Ia satu gol yang cantik, dan selagi ia membantu pasukan, itu sudah memadai,” tambahnya selepas membantu menamatkan rekod enam perlawanan tanpa kalah Salt Lake.
Penyerang berbisa Uruguay berusia 39 tahun itu, yang juga bekas bintang Liverpool dan Barcelona, kini membuka akaun gol bagi tahun 2026, sekali gus merekodkan gol ke-44 dalam 93 penampilannya bersama Miami.
Menurut data TickPick, perlawanan pada Rabu itu merupakan “perlawanan MLS paling mahal musim ini” dengan purata harga tiket melonjak sehingga $468 (RM2,008).
Inter Miami kini kekal tanpa kalah sejak kali terakhir tewas 0-3 kepada Los Angeles FC yang diperkuat Son Heung-min pada aksi pembukaan.
Inter Miami kini menghuni tangga kedua dalam saingan Konferensi Timur dengan 18 mata, hanya dibezakan satu mata di belakang pendahulu, Nashville yang kurang satu perlawanan. – AFP