Penampilan sulung Buakaw gegarkan T-Fight All Star 2026

FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 23 April – Kehadiran legenda Muay Thai dunia, Buakaw Banchamek buat julung kalinya di Malaysia menjadi tarikan utama kejohanan T-Fight All Star 2026 yang bakal berlangsung di Stadium Titiwangsa, pada Jumaat (esok).

RINGKASAN BERITA AI
  • Buakaw dijadual beraksi dalam acara kemuncak kategori 70 kilogram menentang petarung China, Meng Gaofeng.
  • Pertandingan menghimpunkan atlet Muay Thai dari tujuh negara termasuk Thailand, China, Indonesia, Kemboja, Uganda, Maghribi dan Malaysia.
  • Sambutan peminat luar biasa; jualan tiket hampir habis, hanya kira-kira 300 tiket walk in masih tersedia.
  • Kejohanan mempromosikan Muay Thai dan merancakkan pelancongan sukan, memperkukuh Malaysia sebagai destinasi acara sukan tempur serantau.

Ikon sukan tempur itu dijadualkan beraksi dalam acara kemuncak bagi kategori 70 kilogram (kg) menentang petarung handalan dari China, Meng Gaofeng, dalam pertembungan yang dijangka sengit.

Pegawai Pemasaran T-Fight, Mohd Khairul Hafiz Hassan berkata, penganjuran bertaraf antarabangsa itu turut menghimpunkan barisan atlet Muay Thai dari tujuh negara termasuk Thailand, China, Indonesia, Kemboja, Uganda, Maghribi dan tuan rumah, Malaysia.

Menurut beliau, sambutan peminat tempatan amat luar biasa apabila tiket bagi menyaksikan acara berkenaan hampir habis terjual.

“Perjualan untuk tiket dan tabel, tabel sudahpun sold out, tiket kita hanya jual walk in hari ini dan esok yang berbaki lebih kurang 300 keping sahaja kerana capacity Stadium Titiwangsa hanya 1300 sahaja,” katanya kepada pemberita.

Tambah beliau, selain mempromosikan sukan Muay Thai, kejohanan itu juga berperanan merancakkan sektor pelancongan sukan negara melalui kerjasama strategik dengan kementerian berkaitan dan persatuan sukan tempatan.

Penganjuran T-Fight All Star 2026 dilihat mampu memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama bagi acara sukan tempur berprestij di rantau ini.