Majlis Paralimpik harap kerajaan pertimbang peruntukan RM15 juta

Gambar fail pasukan Paralimpik Malaysia

KUALA LUMPUR, 7 Oktober — Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) berharap kerajaan mempertimbangkan peruntukan RM15 juta menerusi Belanjawan akan datang bagi memperkukuh ekosistem sukan para negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peruntukan diperlukan untuk mencungkil bakat akar umbi dan memperkasa pengurusan persatuan sukan para kebangsaan.
  • Sokongan kewangan berterusan penting bagi melaksanakan program pembangunan atlet secara menyeluruh, termasuk pengoperasian, penyelenggaraan dan premis persatuan.
  • MPM menegaskan tahap akauntabiliti matang dan sedia memastikan pelaburan kerajaan diterjemah kepada kejayaan negara; perhatian kerajaan diperlukan.

Presiden MPM, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin berkata, peruntukan itu penting untuk mencungkil bakat baharu di peringkat akar umbi selain memperkasa pengurusan persatuan sukan para kebangsaan.

Beliau berkata permohonan berkenaan pernah dikemukakan sebelum ini dan sokongan kewangan berterusan diperlukan bagi memastikan program pembangunan atlet dapat dilaksanakan secara menyeluruh serta mampan.

“Kami berharap peruntukan RM15 juta ini dapat disalurkan kepada semua persatuan kebangsaan melalui MPM untuk tujuan pembangunan sukan, program pencarian bakat serta membantu persatuan bergerak aktif dari peringkat akar umbi.

“Selain itu, dana ini juga diperlukan bagi melancarkan pengoperasian, penyelenggaraan pejabat dan membantu persatuan yang masih belum mempunyai premis sendiri,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan beg cenderamata kepada atlet Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 di Pusat Kecemerlangan Paralimpik, Kampung Pandan, pada Selasa.

Megat D. Shahriman berkata MPM kini berada pada tahap matang dari aspek akauntabiliti dan bersedia memikul tanggungjawab bagi memastikan pelaburan kerajaan diterjemahkan kepada kejayaan negara.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan memberi perhatian sewajarnya terhadap pembangunan sukan para, selaras dengan pencapaian konsisten atlet para yang mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

Terdahulu, Ketua Kontinjen Malaysia (CDM), Tan Chee Keong mengumumkan kontinjen negara menyasarkan enam pingat emas pada temasya dwitahunan berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.