Hakim Danish mahu lupakan episod kemalangan, fokus sasar mata di Mandalika

Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli/Foto ZKRacing

KUALA LUMPUR, 7 Oktober — Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli mahu melupakan episod tiga kemalangan di Jepun dan membuka lembaran baharu pada Grand Prix (GP) Indonesia di Litar Antarabangsa Mandalika, hujung minggu ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menganggap pengalaman di Motegi sebagai pengajaran penting untuk tampil lebih kompetitif pada pusingan seterusnya.
  • Memiliki pengalaman berlumba di Mandalika ketika Asia Talent Cup empat tahun lalu, akan dimanfaatkan untuk pelarasan jentera.
  • Perlu tingkatkan kelajuan dan prestasi di sektor pertama serta akhir yang mempunyai selekoh tajam.
  • Menjalani fisioterapi intensif untuk memulihkan kecederaan bahu dan sasar kutipan mata berterusan untuk kekal dalam kelompok teratas.

Pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu berkata pengalaman di Mobility Resort Motegi pada pusingan terdahulu menjadi pengajaran penting untuknya tampil lebih kompetitif pada pusingan kedua siri jelajah Asia Kejuaraan Dunia Moto3 2026.

“Saya mahu melupakan sepenuhnya episod kemalangan di Jepun minggu lalu. Apa yang berlaku di Motegi sudah pun berlalu dan ia menjadi pengajaran berguna buat saya untuk terus melangkah ke hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas mengenai perlumbaan di Mandalika, pelumba berusia 19 tahun itu berkata litar berkenaan bukan venue asing buatnya selepas pernah beraksi di situ dalam saingan Idemitsu Asia Talent Cup (ATC) kira-kira empat tahun lalu.

Menurutnya, pengalaman itu akan dimanfaatkan bagi memahami karakter litar dan mendapatkan pelarasan jentera yang bersesuaian.

“Saya sendiri pernah berlumba di litar ini ketika menyertai Asia Talent Cup kira-kira empat tahun lalu, jadi saya sudah mempunyai sedikit pengalaman mengenai karakter litar ini,” katanya.

Hakim berkata beliau perlu meningkatkan kelajuan dan prestasi di beberapa bahagian teknikal, khususnya sektor pertama dan terakhir yang mempunyai selekoh tajam.

Mengenai kecergasan, beliau kini menjalani fisioterapi intensif bagi memastikan kecederaan bahu yang dialaminya di Motegi pulih sepenuhnya sebelum turun pada sesi latihan bebas Jumaat ini.

“Sudah tentu saya sangat bersemangat untuk kembali berlumba dan memberikan yang terbaik pada minggu ini di Mandalika demi menghadiahkan keputusan membanggakan buat pasukan serta peminat di tanah air,” katanya.

Hakim kini berada di kedudukan ketujuh keseluruhan Kejuaraan Dunia Moto3 2026 dengan 105 mata, dan menyasarkan kutipan mata berterusan bagi mengekalkan kedudukannya dalam kelompok teratas kejuaraan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.