Piala Thomas: Misi negara pecah kebuntuan 34 tahun

Barisan skuad Piala Thomas lelaki yang turut dibarisi pemain profesional, Lee Zii Jia/Foto BAM

KUALA LUMPUR, 23 April – Misi skuad badminton negara untuk menamatkan penantian 34 tahun menjulang trofi Piala Thomas bakal bermula esok, dengan harapan tinggi disandarkan kepada barisan pemain utama untuk menggalas cabaran di pentas antarabangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Harapan tertumpu pada kem beregu dengan Aaron Chia dan Soh Wooi Yik sebagai sandaran utama berstatus tinggi.
  • Pengalaman Lee Zii Jia dianggap aset penting, manakala Leong Jun Hao dan pemain muda dijangka galas cabaran perseorangan.
  • Skuad wanita tanpa Pearly Tan; M. Thinaah dipasakkan memimpin usaha mara ke suku akhir buat pertama sejak Piala Uber 2010.

Kali terakhir Malaysia muncul juara adalah lebih tiga dekad lalu, menjadikan edisi kali ini sebagai peluang terbaik untuk menamatkan kemarau kejuaraan sejak sekian lama.

Harapan pada edisi kali ini lebih tertumpu kepada kem beregu, dengan sandaran utama diberikan kepada gandingan Aaron Chia–Soh Wooi Yik yang kini menghuni ranking kedua dunia.

Juara dunia 2022 itu akan disertai Man Wei Chong-Tee Kai Wun (keenam) dan beregu profesional Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani (ketujuh).

Berdasarkan kedudukan ranking semasa, Leong Jun Hao yang menghuni tangga ke-25 dunia dijangka menggalas cabaran dalam kem perseorangan.

Justin Hoh (44) dan Aidil Sholeh Ali Sadikin (51) turut berpotensi mencipta impak sekiranya mampu menyerap tekanan serta mengekalkan prestasi konsisten.

Sementara itu, pengalaman dimiliki pemain profesional, Lee Zii Jia dipentas antarabangsa tidak boleh diketepikan, meskipun beliau kini berada di kedudukan ke-82 dunia.

Pemain berusia 28 tahun itu berupaya mencetuskan kemenangan penting, sekali gus menjadikannya antara aset paling berharga negara, khususnya dalam perlawanan getir.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B bersama Jepun, England dan Finland dilihat berpeluang cerah untuk menamatkan saingan dalam kelompok dua terbaik, sekali gus mara ke suku akhir.

Skuad Piala Uber akan turun beraksi tanpa khidmat Pearly Tan yang menarik diri susulan kecederaan/Foto BAM

Kem wanita pula hadir ke Denmark dengan misi untuk mara ke suku akhir buat kali pertama sejak edisi Piala Uber 2010.

Cabaran negara sedikit terjejas tanpa Pearly Tan, sekali gus meletakkan lebih tanggungjawab di bahu M. Thinaah untuk memimpin pasukan.

Selain itu, K. Letshanaa, Wong Ling Ching, Siti Zulaikha Muhammad Azmi serta pemain profesional Goh Jin Wei bakal menggalas tugas dalam acara perseorangan.

Manakala bahagian beregu pula menampilkan gandingan Ong Xin Yee-Carmen Ting, Noraqilah Maisarah Ramdan-Low Zi Yu dan Chong Jie Yu.

Pada edisi kali ini, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan B bersama Jepun, Turkiye dan Afrika Selatan.

Dengan tekanan tinggi dan persaingan sengit daripada kuasa besar dunia, keupayaan pemain utama mengawal emosi dan memanfaatkan peluang akan menjadi penentu sama ada Malaysia mampu mencipta kejutan atau sekadar memenuhi sasaran asas.

Saingan akan membuka tirai di Horsens, Denmark bermula 24 April hingga 3 Mei depan.