
SEPANG, 23 April – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengambil kira beberapa indikator bagi menentukan keputusan pelaksanaan Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.
- Mesyuarat khas Jawatankuasa Tertinggi Sukma pada 30 April untuk membincangkan indikator dan membuat keputusan pelaksanaan.
- Indikator akan menilai kewajaran meneruskan SUKMA, kesiapan atlet untuk temasya lain dan implikasi jika ditangguhkan atau dibatalkan.
- Permohonan suntikan dana dan tanggung kos negeri tuan rumah akan dibawa ke Jawatankuasa Tertinggi dan KBS menunggu surat rasmi Kerajaan Negeri Selangor.
Menterinya, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata perkara itu akan dibincang secara menyeluruh dalam mesyuarat khas Jawatankuasa Tertinggi Sukma yang dijadualkan berlangsung pada 30 April ini.
“Sebarang keputusan akan diumumkan selepas mesyuarat dilakukan dan sudah pasti mesyuarat ini kita menetapkan beberapa indikator.
“Indikator ini untuk memastikan adakah sukma ini wajar diteruskan, persiapan atlet untuk menghadapi temasya-temasya yang lain dan juga implikasi jika SUKMA tidak dilaksanakan atau ditangguhkan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada RTM selepas meluncurkan Program Kembara Inspirasi Belia Akar Umbi (KIBAR) 2026, disini, hari ini.
Mengenai status permohonan suntikan dana daripada SUKMA Selangor, Dr Mohammed Taufiq menjelaskan, perkara itu akan dibawa dan dibincangkan dalam mesyuarat tertinggi kejohanan.
“Kita berpandangan bahawa negeri-negeri yang melaksanakan SUKMA itu perlulah membuat atau memberikan kos sepenuhnya kepada negeri tersebut.
“Saya yakin dengan kebijaksanaan kerajaan negeri dan exco dan kita akan membawa perkara ini ke peringkat jawatankuasa tertinggi sukma untuk kita membincangkan perkara ini secara menyeluruh,” katanya.
Dalam pada itu, KBS juga sedang menunggu surat rasmi daripada Kerajaan Negeri Selangor sebagai tuan rumah bagi membincangkan perkara berkaitan SUKMA dengan lebih lanjut.