Datuk Chong Wei suntik semangat skuad Piala Uber 2026

Datuk Lee Chong Wei menyampaikan kata-kata semangat kepada skuad Piala Uber menerusi panggilan video/Foto BAM

KUALA LUMPUR, 23 April Legenda badminton negara, Lee Chong Wei tampil memberi suntikan semangat kepada skuad Piala Uber 2026 menerusi pesanan khas secara panggilan video menjelang aksi pembukaan di Horsens, Denmark.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, beliau memperkukuh keyakinan pemain menjelang fasa akhir persiapan.
  • Menyampaikan amanat Presiden BAM Tengku Zafrul: kebajikan dan sokongan pemain menjadi keutamaan sepanjang kempen.
  • Menekankan Thinaah perlu memimpin pasukan selepas ketiadaan Pearly Tan serta menegaskan kekuatan mental penentu utama selain teknikal.

Selaku Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), beliau memanfaatkan sesi itu untuk memperkukuh keyakinan pemain pada fasa akhir persiapan menghadapi kejohanan berpasukan berprestij tersebut.

Dalam ucapannya, Datuk Chong Wei turut menyampaikan amanat Presiden BAM, Tengku Zafrul Abdul Aziz yang menegaskan aspek kebajikan dan sokongan terhadap pemain sentiasa menjadi keutamaan sepanjang kempen berlangsung.

Tumpuan turut diberikan kepada kapten pasukan, M. Thinaah yang kini memikul tanggungjawab lebih besar, khususnya selepas ketiadaan Pearly Tan.

“Saya tahu awak lebih senior dan berpengalaman. Saya harap awak boleh jaga pemain muda yang lain. Walaupun kita tidak ada Pearly, saya yakin Thinaah mampu memimpin pasukan ini,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Datuk Chong Wei menegaskan kekuatan mental akan menjadi penentu utama dalam kempen kali ini, selain keupayaan teknikal di gelanggang.

Skuad negara dijadual membuka kempen menentang Turkiye, Sabtu ini, dengan misi memburu permulaan positif dalam saingan kumpulan.