Cub Prix Malaysia: Afif Amran sasar pertahan gelaran CP150

Ahmad Afif Amran menampilkan dominasi dalam kelas CP150 dengan meraih empat  kejuaraan/Foto Cub Prix Malaysia 2026

KUALA LUMPUR, 23 April – Juara bertahan CP150, Ahmad Afif Amran kembali menghangatkan Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2026 dengan misi mempertahankan gelaran, di samping menggalas cabaran baharu sebagai pemilik pasukan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memulakan pasukan sendiri ESTREMO Pitsbike Yamaha FIVEZERO Racing yang akan membuat penampilan sulung dalam kategori Wira KBS.
  • Musim 2026 juga menjadi titik penting dalam perkembangan kerjaya Afif, dengan fokus membina pasukan dan membimbing pelumba muda.
  • Kejuaraan 2026 membabitkan lapan pusingan dan dibuka di Litar Lumba Tangkak hujung minggu ini.

Menerusi satu kenyataan, pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing itu menegaskan musim 2026 bukan sahaja tentang mempertahankan kejuaraan, tetapi turut menjadi titik penting dalam perkembangan kariernya.

Afif menutup musim 2025 dengan cemerlang apabila muncul juara keseluruhan, sekali gus mengukuhkan status sebagai juara empat kali dalam kelas CP150.

Dalam masa sama, beliau kini mengemudi pasukan sendiri, ESTREMO Pitsbike Yamaha FIVEZERO Racing yang bakal membuat penampilan sulung dalam kategori Wira KBS.

“Sudah tentu saya mahu mempertahankan gelaran, tetapi musim ini juga sangat istimewa kerana saya memulakan sesuatu yang baharu dengan pasukan sendiri.

“Ini langkah besar dalam karier saya dan saya mahu membina pasukan ini bersama pelumba muda dalam kategori Wira KBS,” menurut kenyataan itu.

Pengalaman sebagai pelumba aktif juga memberi kelebihan kepada Afif dalam membantu pembangunan bakat muda, khususnya dari aspek teknikal dan taktikal perlumbaan.

Kejuaraan musim ini membabitkan lapan pusingan dan dijadual membuka tirai di Litar Lumba Tangkak hujung minggu ini.