Arbeloa tekankan strategi, tuntut pemain tingkat motivasi diri

Jurulatih Real Madrid, Alvaro Arbeloa memberikan reaksi ketika perlawanan suku akhir kedua Liga Juara Eropah menentang Bayern Munich di Allianz Arena pada 15 April lalu/Foto REUTERS

MADRID, 23 April – Jurulatih Real Madrid, Alvaro Arbeloa menegaskan bahawa tugas utamanya bukan untuk memotivasikan pemain, sebaliknya mempersiapkan mereka menghadapi cabaran di atas padang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Real Madrid kini ketinggalan sembilan mata di belakang Barcelona, dengan hanya tujuh perlawanan berbaki musim ini.
  • Arbeloa memilih kesebelasan berdasarkan prestasi terbaik; Dani Carvajal menerima masa permainan terhad namun kekal penting dalam skuad.
  • Carvajal dianggap masih pada tahap terbaik dan berpotensi berperanan besar bersama Sepanyol, sementara spekulasi mengenai masa depan Arbeloa berterusan.

Bercakap pada sidang media menjelang aksi LaLiga menentang Real Betis yang menghuni tangga kelima, Arbeloa berkata pemain kelab itu seharusnya memiliki motivasi diri yang tinggi tanpa perlu bergantung kepada jurulatih.

“Saya tidak fikir tugas saya adalah untuk memotivasikan mereka. Pemain Real Madrid perlu mempunyai tuntutan diri yang sangat tinggi.

“Tugas saya adalah menyediakan mereka untuk perlawanan, memahami corak permainan lawan dan mencari penyelesaian terbaik,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Real Madrid kini ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu liga, Barcelona, dengan hanya tujuh perlawanan berbaki musim ini.

Mengulas mengenai masa permainan terhad pertahanan kanan Dani Carvajal, Arbeloa berkata beliau memilih kesebelasan berdasarkan prestasi terbaik, namun menegaskan pemain itu kekal penting dalam skuad.

Menurutnya, Carvajal masih berada pada tahap terbaik dan berpotensi memainkan peranan besar bersama Sepanyol, di tengah spekulasi media tempatan yang mendakwa kedudukan Arbeloa sebagai jurulatih mungkin terancam menjelang musim panas ini. – REUTERS