
TANJONG MALIM, 5 November – Global Educator Award (GEA) perlu diperkasakan sebagai platform antarabangsa bagi mengiktiraf kecemerlangan pendidik, mempromosikan inovasi serta memperkukuh kerjasama pendidikan merentas sempadan.
- GEA harus menjadi platform berimpak, bukan sekadar pengiktirafan individu, untuk memacu pembangunan pendidikan di peringkat global.
- Peranan guru dan pensyarah penting membentuk ilmu, nilai serta kemanusiaan bagi melahirkan generasi menyumbang kepada pembangunan negara.
- Penganjuran GEA di UPSI mencerminkan aspirasi kepimpinan pendidikan antarabangsa dan pengiktirafan kepada individu serta institusi cemerlang.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, GEA tidak seharusnya sekadar menjadi majlis pengiktirafan individu, sebaliknya platform yang memberi impak kepada pembangunan pendidikan global.
Menurutnya, peranan guru dan pensyarah amat penting dalam membentuk ilmu, nilai serta kemanusiaan, selain melahirkan generasi yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara.
“Guru dan pensyarah mungkin tidak sentiasa menerima pengiktirafan masyarakat, namun sumbangan mereka membentuk generasi. Di sebalik kejayaan setiap pemimpin, saintis atau golongan profesional, lazimnya terdapat seorang pendidik yang berdedikasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah GEA 2026 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), semalam.

pada Majlis Penyampaian Anugerah Global Educator Award (GEA) di UPSI
Majlis itu turut diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, selaku Canselor UPSI.
GEA 2026 menerima 472 pencalonan dari 83 negara sebelum 26 finalis dari 11 negara dipilih menerusi proses penilaian.
Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, penganjuran itu mencerminkan aspirasi universiti memperluas pengaruh dan kepimpinan pendidikan di peringkat antarabangsa.
Pada majlis itu, seramai tujuh individu dan sebuah institusi menerima pengiktirafan menerusi lapan kategori anugerah.