Kemenangan ‘gelombang biru’ buktikan rakyat AS mahukan perubahan

Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani / Foto VIORY

NEW YORK, 5 November – Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani menyifatkan kemenangan Parti Demokrat dalam pilihan raya pertengahan penggal Amerika Syarikat (AS) sebagai bukti rakyat mahukan perubahan politik yang lebih mengutamakan golongan pekerja berbanding golongan kaya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kemenangan Demokrat beri mandat generasi baharu kurangkan kos sara hidup, perjuangkan kebajikan pekerja dan utamakan pembangunan berbanding peperangan.
  • Abdul El-Sayed mencipta sejarah sebagai Muslim pertama ke Senat AS, berkempen fokus pada kos sara hidup, penjagaan kesihatan dan hadkan pengaruh korporat.
  • Kuasaan majoriti di kedua dewan Kongres buka ruang cabar agenda kerajaan dan siasat pentadbiran Presiden untuk dua tahun baki.

Beliau turut menyambut kemenangan Abdul El-Sayed di Michigan yang mencipta sejarah sebagai Muslim pertama dipilih menganggotai Senat AS selepas menewaskan calon Republikan, Mike Rogers.

Mamdani berkata, rakyat sudah bosan apabila keperluan mereka dianggap tidak realistik oleh ahli politik yang dipengaruhi golongan paling kaya.

“Generasi kepimpinan baharu kini diberi mandat untuk mengurangkan kos sara hidup, memperjuangkan kebajikan pekerja dan mengutamakan pembangunan berbanding peperangan,” katanya.

Beliau menyifatkan kemenangan Demokrat di beberapa negeri, termasuk yang sebelum ini menjadi kubu kuat Presiden Donald Trump, sebagai petunjuk rakyat mahukan politik yang memberi kesan kepada kehidupan serta cabaran harian mereka.

El-Sayed, bekas pegawai kesihatan awam, berkempen dengan memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan kos sara hidup, memperluas akses penjagaan kesihatan dan mengehadkan pengaruh syarikat besar dalam politik.

Pendirian beliau yang menentang bantuan ketenteraan AS kepada Israel turut menjadi isu sepanjang kempen.

Mamdani berkata kemenangan El-Sayed amat bermakna, terutama selepas berdepan perbelanjaan besar kempen pihak lawan serta serangan berunsur perkauman dan fitnah.

Mengulas dasar Washington terhadap Israel, beliau menggesa AS supaya mematuhi undang-undang antarabangsa dan mengutamakan nilai kemanusiaan.

Kemenangan itu membolehkan Demokrat menguasai kedua-dua dewan Kongres bagi baki dua tahun pentadbiran Trump, sekali gus memberi ruang kepada parti itu mencabar agenda perundangan serta menyiasat pentadbiran Presiden berkenaan. – VIORY

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.