Penangguhan SUKMA 2026: Titah Sultan Selangor wajar diteliti

Datuk Dr. Pekan Ramli./foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 21 April –Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (SUKMA) diminta meneliti secara menyeluruh titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berhubung kewajaran menangguhkan SUKMA 2026 di negeri itu sebelum membuat keputusan segera mengenainya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Titah Sultan menzahirkan kebimbangan impak krisis Asia Barat dan pandangan jauh wajar dihormati.
  • Sebagai negeri tuan rumah, pandangan baginda berasas kerana situasi geopolitik boleh menjejaskan ekonomi domestik.
  • Sekiranya krisis berlanjutan, kenaikan kos dan indeks harga boleh membebankan kontinjen, terutamanya Sabah dan Sarawak.
  • Penangguhan SUKMA boleh menjejaskan persiapan serta pemilihan atlet ke Sukan SEA 2027, seperti kesan dilihat pada SUKMA 2022.

Penganalisis sukan tanah air, Datuk Dr Pekan Ramli berkata titah baginda yang menzahirkan kebimbangan terhadap impak krisis di Asia Barat merupakan pandangan jauh yang wajar dihormati semua pihak terlibat.

Beliau berkata sebagai negeri tuan rumah, pandangan baginda mempunyai asas kukuh memandangkan situasi geopolitik dunia ketika ini mampu memberi kesan rantaian kepada ekonomi domestik.

“Kita perlu akur dengan titah berkenaan. Apabila Tuanku Sultan Selangor bertitah sedemikian, semua pihak perlu berbincang dengan baik. Jawatankuasa Tertinggi SUKMA perlu melihat perkara ini sebagai isu utama yang perlu diputuskan segera kerana SUKMA dijadualkan pada Ogos ini.

“Kita faham jika krisis di Asia Barat berlanjutan sehingga Ogos, dan sekiranya negara masih berdepan krisis minyak serta lain-lain, kos pasti akan meningkat berlipat kali ganda,” katanya.

Jelas beliau, kenaikan indeks harga barang dan perkhidmatan juga boleh memberi tekanan kewangan kepada setiap kontinjen negeri yang bertanding, khususnya Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun, beliau mengakui kepentingan SUKMA 2026 sebagai medan saringan utama atlet negara ke Sukan SEA 2027 yang akan dianjurkan Malaysia.

“Kita juga perlu mengambil kira persiapan menghadapi Sukan SEA 2027. Jika ditangguhkan, ia boleh menjejaskan jadual persiapan kontinjen dan proses pemilihan atlet.

“Contohnya pada SUKMA 2022 yang ditangguhkan, ia memberi kesan kepada syarat penyertaan umur, termasuk rekod kejohanan atlet berusia lebih 21 tahun yang tidak diambil kira,” katanya. – BERNAMA