Flick tidak mahu Barcelona terus dirundung duka

Jurulatih Barcelona, Hansi Flick./foto AFP

SANT JOAN DESPI, 21 April –Jurulatih Barcelona, Hansi Flick mengakui tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara Eropah minggu lalu sebagai satu pengalaman yang sangat menyakitkan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Flick mahu pemain tidak terus dirundung duka, sebaliknya jadikan kekecewaan sebagai motivasi utama memburu kejuaraan La Liga.
  • Beliau tegas: jangan leka walaupun di puncak, langkah demi langkah dan fokus penuh kerana Madrid akan terus memberi tekanan.
  • Flick mahu memperbaharui kontrak dan menamatkan kerjaya kejurulatihan di Barcelona, sambil menghadapi Celta Vigo untuk kukuhkan kedudukan.

Bagaimanapun beliau segera menuntut semua pemain Barcelona agar tidak terus dirundung duka, sebaliknya menjadikan kekecewaan itu sebagai motivasi utama memburu kejuaraan La Liga.

Flick menegaskan bahawa semua pemain supaya tidak leka meskipun kini selesa di puncak liga.

“Kita bergerak selangkah demi selangkah,” tegas Flick sambil mengingatkan pemainnya untuk mengharungi setiap baki perlawanan dengan fokus sepenuhnya sehingga gelaran juara sah menjadi milik mereka.

Pengendali dari Jerman itu juga menepis tanggapan bahawa saingan memburu kejuaraan liga domestik sudah berakhir, walaupun Barcelona kini mendahului pencabar terdekat, Real Madrid, dengan jurang sembilan mata.

“Saya menjangkakan Madrid akan memberikan segala-galanya dan terus memberi tekanan kepada kita,” katanya.

Dalam pada itu, ketika diajukan soalan mengenai masa depannya, Flick secara terbuka menyatakan keinginan untuk memperbaharui kontrak dan mahu menamatkan karier kejurulatihannya di Barcelona.

Barcelona bakal berdepan cabaran Celta Vigo di laman sendiri pada Rabu dalam saingan La Liga dengan misi untuk terus mengukuhkan cengkaman di takhta liga. – REUTERS