La Liga: Madrid hambat Barcelona

Para pemain Real Madrid meraikan jaringan kedua Vinicius Junior/ AFP

MADRID, 22 April – Kylian Mbappe dan Vinicius Junior masing-masing mencetaksatu gol untuk membantu Real Madrid melakar kemenangan tipis 2-1 ke atas Alaves pada Selasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mbappe membuka jaringan pada minit ke-30 menerusi rembatan terbias, gol ke-24 musim ini.
  • Vinicius mengukuhkan kemenangan lewat babak kedua dengan rembatan jarak jauh dari kira-kira 25 ela.
  • Eder Militao mengalami kecederaan separuh masa pertama; Toni Martinez jaring gol saguhati, Madrid kini 73 mata, ketinggalan enam mata.

Kemenangan berkenaan sekali gus menghidupkan sisa perjuangan mengejar pendahulu La Liga, Barcelona.

Mbappe membuka tirai jaringan pada minit ke-30 di Santiago Bernabeu menerusi rembatan yang terbias pertahanan lawan.

Gol berkenaan menandakan gol ke-24 peribadinya musim ini.

Bersambung babak kedua, Vinicius mengukuhkan kedudukan menerusi rembatan jarak jauh.

Alaves berjaya merapatkan jurang menerusi Toni Martinez pada masa kecederaan.

Kemenangan tersebut menamatkan kemarau tanpa kemenangan dalam dua perlawanan liga sebelum ini buat Los Blancos, sekali gus merapatkan jurang kepada enam mata di belakang Barcelona yang dijadual melayani kunjungan Celta Vigo pada Rabu.

“Kami mempunyai baki enam perlawanan lagi, dengan aksi seterusnya dalam tempoh tiga hari.

“Sasaran pasukan adalah untuk menyapu bersih kemenangan dalam semua baki perlawanan ini,” kata pengendali Madrid, Alvaro Arbeloa, yang kini berdepan tekanan hebat mengenai kedudukannya di kelab itu.

“Saya tidak terlalu memikirkan tentang nasib peribadi saya. Apa yang lebih penting adalah masa depan dan kepentingan Real Madrid.”

Gergasi Sepanyol itu kini berdepan kemungkinan menamatkan musim kedua berturut-turut tanpa sebarang trofi selepas tersingkir di peringkat suku akhir Liga Juara Eropah di tangan Bayern Munich, minggu lepas.

Dalam aksi tersebut, tuan rumah, Madrid pada awalnya diasak hebat oleh Alaves yang bergelut mengelak zon penyingkiran.

Pelawat hampir mengejutkan tuan rumah menerusi Angel Perez, namun beliau gagal melepaskan rembatan tepat ke arah gawang yang dikawal Andriy Lunin.

Mbappe akhirnya memecah kebuntuan apabila percubaannya dari luar kotak penalti terbias pemain pertahanan lalu mengelirukan penjaga gol Alaves, Antonio Sivera.

Malangnya, Madrid terpaksa melakukan pertukaran awal apabila Eder Militao mengalami kecederaan sebelum tamat separuh masa pertama.

Alaves hampir menyamakan kedudukan menerusi Martinez, namun percubaannya sekadar menggegar tiang gol. Vinicius kemudian melegakan penyokong tuan rumah dengan gol kedua perlawanan menerusi rembatan dari jarak 25 ela.

Meskipun Martinez berjaya menjaringkan gol saguhati menerusi kuisan menarik pada penghujung perlawanan, ia tidak cukup untuk menghalang kemenangan Madrid.

Real Madrid kini mengumpul 73 mata di tangga kedua liga ketinggalan enam mata di belakang pendahulu Barcelona yang selesa dengan 79 mata. – AFP