ACLE: Machida Zelvia mara ke pentas akhir

FOTO REUTERS

JEDDAH, 22 April – Kelab kerdil Jepun yang membuat penampilan sulung dalam kejohanan, Machida Zelvia, mengesahkan slot ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara Asia (ACL) Elite selepas menumpaskan Shabab Al-Ahli 1-0 dalam aksi penuh kontroversi di Jeddah, pada Selasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Yuki Soma menjaringkan gol pada minit ke-12 untuk meletakkan Machida di hadapan.
  • Pengendali Shabab Al-Ahli Paulo Sousa meninggalkan padang sebagai protes selepas pengadil membatalkan gol penyamaan.
  • Pengadil merujuk VAR lalu membatalkan penalti Machida dan kemudian menolak gol Shabab kerana proses pertukaran pemain belum selesai.
  • Machida akan berdepan Al-Ahli dalam aksi akhir, dengan misi menghalang pertahanan kejuaraan berturut-turut.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh Yuki Soma pada minit ke-12, sekali gus membawa wakil J-League itu ke pentas akhir untuk bertemu dengan juara bertahan, Al-Ahli dari Arab Saudi.

Bagaimanapun, suasana di stadium bertukar kecoh apabila keputusan pengadil, Shaun Evans membatalkan gol penyamaan Shabab Al-Ahli pada masa kecederaan mencetuskan kemarahan pengendali kelab yang berpangkalan di Dubai itu, Paulo Sousa, yang bertindak keluar padang sebagai tanda protes.

Machida bermula garang apabila Soma mengambil kesempatan atas kesilapan hantaran ke belakang pemain lawan, Bogdan Planic, sebelum tenang memperdaya penjaga gol Hamad Al-Meqbaali untuk meletakkan pasukannya di depan.

Al-Meqbaali kemudian bertindak cemerlang menyelamatkan percubaan Erik tiga minit kemudian bagi mengelak Machida menambah kelebihan, manakala Shabab Al-Ahli hampir menyamakan kedudukan menerusi Kauan Santos namun percubaannya sekadar menggegar palang gol.

Sebelum tamat separuh masa pertama, Evans pada mulanya memberikan penalti kepada Machida selepas Soma dijatuhkan oleh Federico Cartabia, namun keputusan itu dibatalkan selepas pengadil dari Australia tersebut merujuk monitor di tepi padang (VAR).

Bersambung babak kedua, Shabab Al-Ahli menggandakan asakan dan hampir memperoleh gol menerusi Mohammed Juma pada minit ke-70, namun rembatannya sedikit tersasar.

Kekecohan berlaku pada masa kecederaan apabila Guilherme Bala berjaya melepaskan rembatan kencang kaki kanan menewaskan penjaga gol Machida, Kosei Tani, sekali gus mencetuskan kegirangan buat kem Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu.

Namun, kegembiraan mereka tidak lama apabila Evans sekali lagi merujuk monitor VAR dan memutuskan gol tersebut tidak sah.

Keputusan itu dibuat atas alasan Machida masih belum menyempurnakan proses pertukaran pemain ketika Santos melakukan hantaran ke dalam yang membawa kepada gol berkenaan.

Kemenangan itu menyaksikan Machida bakal bertemu Al-Ahli dalam aksi akhir Sabtu ini.

Mereka membawa misi besar untuk menghalang kelab Liga Pro Saudi itu daripada menjadi pasukan pertama sejak 2005 yang berjaya mempertahankan kejuaraan kelab berprestij di benua Asia itu secara berturut-turut. – REUTERS