
SEPANG, 3 Mei – Pasukan Malaysia sudah memberikan komitmen terbaik meskipun gagal melangkah ke separuh akhir Piala Thomas 2026.
- Aaron minta usaha semua pemain dihargai atas pengorbanan dan kerja keras mereka.
- Aaron akui kekuatan China, India dan Taiwan, namun pemain tetap berjuang habis-habisan.
- Malaysia tersingkir suku akhir selepas tewas 0-3 kepada China, meneruskan kemarau trofi.
- Perlu bekerja lebih keras dan berbincang dengan jurulatih untuk perbaiki kelemahan pasukan.
Pemain beregu negara, Aaron Chia yang juga ketua pasukan lelaki negara berkata, usaha semua pemain wajar dihargai.
“Saya rasa semua rakan sepasukan telah memberikan yang terbaik walaupun kita tidak masuk ke separuh akhir atau final. Yang penting, seluruh pasukan sudah beri yang terbaik,” katanya ketika ditemui media di Lapangan terbang Anatarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas pulang dari Horsens, Denmark.
Aaron turut mengakui kekuatan pasukan lain seperti China, India dan Taiwan, namun menegaskan setiap pemain tetap turun ke gelanggang dengan tekad untuk berjuang habis-habisan.
Beliau juga menekankan kepentingan untuk terus bekerja keras menjelang kejohanan akan datang termasuk Sukan Asia dan Kejohanan Dunia.
“Saya rasa yang penting setiap pemain perlu bekerja lebih keras sebagai persiapan menghadapi Sukan Asia atau mana-mana kejohanan Jelajah Dunia kerana masih banyak kejohanan akan datang termasuk Kejohanan Dunia.
“Kami perlu berbincang dengan jurulatih mengenai apa yang perlu diperbaiki,” katanya.
Malaysia tersingkir di peringkat suku akhir Piala Thomas di Horsens, Denmark selepas tewas 0-3 kepada China, sekali gus meneruskan kemarau untuk menjulang trofi berprestij itu.