
SHAH ALAM, 3 Mei – Pemanah negara, Nur Zakirah Syaiful Anwar, mempamerkan aksi luar biasa apabila berjaya merangkul pingat emas dalam kategori Barebow Wanita Individu pada Kejohanan Memanah Barebow Asia 2026 yang berlangsung di Kompleks Sukan Panasonic, di sini.
- Mengatasi pencabar Vietnam Ngoc Cam Hua 7-3 dalam aksi akhir, menunjukkan ketenangan dan kecekapan
- Siti Norharlisa bangkit selepas tewas separuh akhir dan menamatkan acara dengan pingat gangsa untuk Malaysia
- Hadapi angin kuat sebagai cabaran; turut raih pingat perak berpasukan selepas tewas tipis di shoot-off, pengalaman pertama gemuruh
Dalam aksi final yang penuh debaran, Nur Zakirah menewaskan pencabar dari Vietnam, Ngoc Cam Hua, dengan keputusan 7-3.
Kejayaan skuad Barebow wanita negara tidak terhenti di situ apabila Siti Norharlisa Rinny Masturi turut menyumbang pingat gangsa.
Walaupun tewas tipis di tangan Ngoc Cam Hua di separuh akhir, Siti Norharlisa bangkit untuk memastikan kedudukan ketiga menjadi milik Malaysia.
Mengulas mengenai kemenangannya, Nur Zakirah mengakui cabaran angin yang kuat di lokasi pertandingan menjadi ujian terbesar buat semua pemanah.

“Fokus saya adalah untuk memberikan yang terbaik. Cabaran angin hari ini sangat kuat berbanding hari-hari sebelumnya, tetapi bagi saya ini adalah satu pengalaman berharga. Apa yang kita dapat hari ini adalah rezeki,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Kemenangan itu merupakan pingat emas antarabangsa pertama Nur Zakirah bagi tahun 2026, sekali gus mengekalkan rekod cemerlang.
Selain emas individu, Nur Zakirah bersama rakan sepasukan turut berjaya membawa pulang pingat perak dalam acara berpasukan selepas tewas tipis menerusi penentuan ‘shoot-off”.

“Untuk acara berpasukan, kami hampir mendapat emas tetapi tewas di shoot-off. Ia adalah pengalaman pertama saya melakukan shoot-off untuk penentuan pingat di atas platform, memang agak gemuruh,” katanya.