
KUALA LUMPUR, 19 Mei – Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terpaksa berhempas pulas sebelum mengesahkan kemaraan ke pusingan seterusnya pada Kejohanan Malaysia Masters 2026 di Unifi Arena, Bukit Jalil hari ini.
- Pasangan pilihan pertama, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, menang dalam tiga set menewaskan gandingan Singapura.
- Mereka tewas set pertama 21-19 tetapi bangkit menang 21-10, 21-12 untuk mara ke pusingan seterusnya.
- Beregu wanita negara, Ong Xin Yee dan Carmen Ting, tersingkir selepas tewas kepada pasangan Taiwan 15-21, 20-22.
Pasangan pilihan pertama kejohanan itu dipaksa beraksi hingga tiga set sebelum menewaskan gandingan Singapura, Eng Keat Wesley Koh-Junsuke Kubo.
Aaron-Wooi Yik bermula kurang meyakinkan apabila beberapa kesilapan mudah memberi ruang kepada pasangan lawan menguasai permainan untuk meraih kemenangan set pertama 21-19.
Bagaimanapun, pasangan negara pantas bangkit pada set kedua dengan memperkemaskan tempo permainan serta tampil lebih agresif di jaring untuk mengikat kedudukan menerusi kemenangan 21-10.
Momentum positif itu diteruskan dalam set penentuan apabila beregu negara tampil lebih yakin dan konsisten sebelum menoktahkan kemenangan 21-12 sekali gus melangkah ke pusingan berikutnya.
Wooi Yik mengakui mereka gagal mengawal permainan dengan baik pada set pertama sehingga memberi kelebihan kepada pasangan Singapura.
“Pada pandangan saya, mereka bermain dengan sangat baik pada perlawanan pertama. Kita sempat mendahului pada satu ketika, namun permainan kita tidak cukup ketat.
“Dalam set kedua dan ketiga, kita bermain hampir sama seperti set pertama. Mereka pula melakukan beberapa kesilapan, dan kita berjaya mengambil peluang daripada keadaan tersebut,” kata beliau selepas perlawanan Malaysia Masters 2026 di Ibu Negara.
Sementara itu, cabaran beregu wanita negara, Ong Xin Yee-Carmen Ting berakhir lebih awal selepas tewas kepada pasangan Taiwan, Yi En Hsieh-Teng Chun Hsun 15-21, 20-22.