Liga Juara Eropah: Barcelona putih mata di laman sendiri

FOTO AFP

CAMP NOU, 9 April – Julian Alvarez dan Alexander Sorloth masing-masing meledak satu gol bagi membantu Atletico Madrid mencatatkan kemenangan berharga 2-0 ke atas Barcelona dalam aksi suku akhir pertama Liga Juara Eropah di Camp Nou pada Rabu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pau Cubarsi dilayangkan kad merah pada penghujung separuh masa pertama selepas menjatuhkan Giuliano Simeone.
  • Barcelona beraksi dengan 10 pemain namun terus memberi tentangan, penyudah tumpul dan penjaga gol Juan Musso cemerlang.
  • Perlawanan timbal balik di Madrid memerlukan Barcelona melakukan kebangkitan besar untuk melayakkan diri ke separuh akhir.

Pertembungan sesama kelab Sepanyol itu berubah corak selepas pertahanan remaja Barcelona, Pau Cubarsi, dilayangkan kad merah pada penghujung babak pertama kerana menjatuhkan Giuliano Simeone .

Alvarez menterjemahkan sepakan percuma susulan insiden itu kepada gol pembukaan, sebelum Sorloth menggandakan kelebihan pelawat ketika perlawanan berbaki 20 minit untuk memberi kelebihan selesa buat skuad kendalian Diego Simeone menjelang aksi timbal balik.

“Kami gembira dengan kemenangan ini tetapi perjalanan masih jauh. Kami perlu kekal berpijak di bumi nyata kerana masih ada 90 minit lagi di Madrid,” kata bintang Atletico, Antoine Griezmann kepada Movistar.

Barcelona, yang memburu kejuaraan pertama sejak 2015, memulakan perlawanan dengan agresif menerusi ancaman pemain pinjaman, Marcus Rashford.

Namun ketumpulan penyudah serta kecemerlangan penjaga gol Atletico, Juan Musso, menghampakan tuan rumah.

Meskipun beraksi dengan 10 pemain, skuad kendalian Hansi Flick tetap memberikan tentangan sengit pada separuh masa kedua.

Kekalahan itu merupakan yang pertama buat Barcelona di laman sendiri sejak Camp Nou dibuka semula pada November 2025, manakala bagi Diego Simeone, ia adalah kemenangan sulungnya di stadium berkenaan sepanjang 14 tahun mengemudi Rojiblancos.

Kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi di Madrid pada Selasa depan, dengan Barcelona perlu melakukan kebangkitan besar jika mahu melangkah ke peringkat separuh akhir. – AFP