La Liga: Barcelona semakin hampiri kejuaraan

FOTO REUTERS

BARCELONA, 23 April – Barcelona kini semakin hampir untuk menjuarai saingan La Liga selepas mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Celta Vigo pada Rabu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lamine Yamal mengalami kecederaan hamstring selepas menjaringkan penalti dan terpaksa digantikan sebelum separuh masa pertama tamat.
  • Barcelona turut kehilangan pertahanan kanan Joao Cancelo dalam perlawanan tersebut.
  • Barca mendahului carta liga dengan kelebihan sembilan mata dan baki enam perlawanan termasuk pertemuan Clasico.
  • Atletico tewas 2-3 kepada Elche, Thiago Almada dilayangkan kad merah; tujuh kekalahan dalam lapan perlawanan terakhir.

Namun kemenangan itu terpaksa dibayar dengan harga yang mahal selepas penyerang muda sensasi, Lamine Yamal mengalami kecederaan hamstring.

Bintang remaja Sepanyol itu menjadi wira perlawanan selepas menyempurnakan sepakan penalti untuk memastikan kemenangan tuan rumah dan terpaksa dikeluarkan sebelum tamat separuh masa pertama.

Selain Yamal, Barcelona turut kehilangan pertahanan kanan Joao Cancelo dalam perlawanan tersebut.

Skuad kendalian Hansi Flick itu kini mendahului carta liga dengan kelebihan sembilan mata di hadapan Real Madrid dengan baki enam perlawanan, termasuk aksi Clasico pada 10 Mei ini.

“Kami perlu memenangi setiap perlawanan dan mengesahkan kejuaraan La Liga secepat mungkin. Kemenangan hari ini amat penting.

“Saya harap kecederaan Lamine tidak serius dan beliau akan pulih segera,” kata pemain tengah Barca, Pedri kepada Movistar.

Barcelona, yang turun buat kali pertama sejak tersingkir daripada suku akhir Liga Juara Eropah di tangan Atletico Madrid minggu lalu, kelihatan bergelut untuk mencari rentak permainan.

Penjaga gol Barca, Joan Garcia, terpaksa bekerja keras menyelamatkan percubaan awal daripada Pablo Duran dan Ferran Jutgla.

Barcelona akhirnya berjaya memecahkan kebuntuan selepas pertahanan Ceta Vigo, Yoel Lago menjatuhkan Yamal di dalam kotak penalti.

Yamal tenang menewaskan penjaga gol Celta, Ionut Radu.

Namun beliau rebah selepas jaringan dan meminta rawatan perubatan.

Apabila aksi disambung semula, Yamal digantikan oleh Roony Bardghji.

Barca hampir menggandakan kedudukan menerusi Ferran Torres, namun jaringan tersebut dibatalkan selepas video bantuan pengadil (VAR) mengesan kedudukan ofsaid.

Kekalahan itu menyaksikan Celta Vigo kekal di tangga ketujuh liga.

Dalam satu lagi perlawanan, Atletico Madrid terus dihantui prestasi hambar selepas tewas 2-3 kepada pasukan bawahan, Elche.

Kekalahan itu merupakan kekalahan ketujuh buat skuad kendalian Diego Simeone dalam lapan perlawanan terakhir bagi semua kejohanan.

Simeone, yang merehatkan barisan pemain utamanya sebagai persediaan menghadapi separuh akhir Liga Juara Eropah menentang Arsenal Rabu depan, mengakui bertanggungjawab sepenuhnya atas kekalahan tersebut.

Atletico terpaksa beraksi dengan 10 pemain selama sejam selepas Thiago Almada dilayangkan kad merah pada minit ke-30.

Dua gol daripada Nicolas Gonzalez gagal menyelamatkan Atletico apabila Elche bangkit menerusi dua jaringan Andre Silva dan gol daripada David Affengruber untuk mengukuhkan peluang mereka kekal dalam saingan liga. – AFP