MSN nafi terbabit penipuan guna nama Ketua Pengarah

Majlis Sukan Negara

KUALA LUMPUR, 23 April –  Majlis Sukan Negara (MSN) menafikan sebarang penglibatan dalam aktiviti penipuan yang menggunakan nama serta imej Ketua Pengarahnya, Jefri Ngadirin di media sosial.

RINGKASAN BERITA AI
  • Laporan dibuat kepada PDRM untuk membolehkan siasatan menyeluruh terhadap penyalahgunaan.
  • Kegiatan melibatkan sebuah akademi badminton yang menawarkan program meminta bayaran besar menggunakan identiti yang tidak dibenarkan.
  • MSN menasihatkan orang ramai menyemak saluran rasmi, elak pembayaran tanpa pengesahan; mangsa diminta segera buat laporan polis dan hubungi bank.

MSN dalam kenyataan memaklumkan satu laporan telah dibuat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membolehkan siasatan menyeluruh dijalankan berhubung penyalahgunaan tersebut.

“Kegiatan berkenaan melibatkan sebuah akademi badminton yang menawarkan penyertaan program dan meminta bayaran dalam jumlah besar.

“MSN tidak pernah melantik, memberi kebenaran atau mengiktiraf mana-mana individu atau kumpulan untuk menggunakan nama, identiti atau imej MSN bagi tujuan kutipan bayaran,” menurut kenyataan itu pada Khamis.

Katanya, MSN dan Jefri juga tidak mempunyai sebarang kaitan, penglibatan atau hubungan dengan program atau aktiviti berkenaan.

Sehubungan itu, MSN menegaskan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas termasuk tindakan undang-undang terhadap pihak yang terlibat.

Orang ramai dinasihatkan supaya menyemak kesahihan maklumat melalui saluran rasmi MSN dan tidak membuat sebarang pembayaran kepada pihak yang mendakwa mewakili agensi itu tanpa pengesahan.

Mangsa penipuan diminta segera membuat laporan polis serta menghubungi institusi kewangan masing-masing bagi tindakan lanjut.

MSN akan terus mengambil langkah proaktif bagi membendung aktiviti penipuan dan melindungi kepentingan orang awam serta reputasi organisasi.