Ahmad Zahid tiba di Beijing, mulakan lawatan kerja lima hari ke China

Foto media Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

BEIJING, 12 Oktober – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di sini hari ini bagi memulakan lawatan kerja lima hari ke China hingga 16 Oktober ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lawatan memberi tumpuan kepada kerjasama Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta memperluas kerjasama Malaysia-China dalam sektor strategik.
  • Beliau dijadual mengetuai delegasi Malaysia ke WVTEDC 2026 di Tianjin dan menyampaikan ucaptama pada majlis perasmian.
  • Pertemuan dijadualkan dengan Timbalan Perdana Menteri China Ding Xuexiang dan Penasihat Negara serta Menteri Keselamatan Awam Wang Xiaohong.
  • Perbincangan dengan syarikat terkemuka China akan meneroka peluang dalam TVET, teknologi digital, ekonomi hijau dan tenaga boleh baharu.

Lawatan berkenaan memberi tumpuan kepada kerjasama Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), selain memperluas kerjasama Malaysia-China dalam sektor strategik.

Beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Ibu Kota Beijing pada pukul 6.20 petang waktu tempatan dan disambut Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad, bersama Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Mohd Zaki Sahrudin.

Turut hadir menyambut ketibaan beliau ialah pegawai Kedutaan Malaysia, pegawai pengiring serta wakil Kementerian Pendidikan China Li Qi termasuk Timbalan Ketua Pengarah Kerjasama Antarabangsa Kementerian Pendidikan China Liu Yong.

Seterusnya, beliau tiba di hotel penginapan, China World Summit Wing Beijing, pada pukul 7 malam waktu tempatan dan disambut Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala) Kementerian Luar Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin, bersama pegawai kedutaan Malaysia dan pegawai kerajaan Malaysia di Beijing.

Sepanjang lawatan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid dijadualkan mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Pembangunan Pendidikan Teknikal dan Vokasional Sedunia 2026 (WVTEDC) di Tianjin serta menyampaikan ucaptama pada majlis perasmian itu.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah juga akan mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri China Ding Xuexiang, dan Penasihat Negara merangkap Menteri Keselamatan Awam China, Wang Xiaohong.

Selain itu, pertemuan dengan syarikat terkemuka China akan membuka ruang untuk meneroka peluang kerjasama dalam bidang TVET, teknologi digital, ekonomi hijau dan tenaga boleh baharu.

Ini merupakan kunjungan ketiga Datuk Seri Dr Ahmad Zahid ke China sejak memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri pada Disember 2022.

Malaysia dan China menjalin hubungan diplomatik sejak 31 Mei 1974, dengan China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia sejak 2009.

Pada 2025, jumlah perdagangan kedua-dua negara mencecah RM541.54 bilio, iaitu 17.7 peratus daripada keseluruhan perdagangan Malaysia.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.