Peluasan ekosistem industri kreatif cipta nilai ekonomi

Mohd Nizam Abdul Razak

KUALA LUMPUR, 12 Oktober – Industri kreatif perlu melangkaui penghasilan karya selain membangunkan ekosistem perniagaan yang mampu menjana nilai sosioekonomi yang akan memberi manfaat kepada masyarakat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perniagaan animasi mesti bangunkan ekosistem sokongan, termasuk barangan dagangan, pengurusan harta intelek dan hak, bukan hanya penghasilan kandungan.
  • Belanjawan 2027 memperuntukkan sokongan kewangan kepada perfileman, muzik dan kandungan kreatif tempatan untuk menggalakkan pembangunan industri.
  • Pembangunan hartanah perlu dinilai dari segi nilai komersial, manfaat kepada kawasan sekitar dan impak sosial, bukan hanya reka bentuk.

Pengasas Bersama merangkap Pengarah Urusan Monsta Studios, Mohd Nizam Abdul Razak berkata, perniagaan animasi bukan sekadar menghasilkan kandungan, ia juga memerlukan pembangunan ekosistem sokongan bagi mengembangkan potensi sesuatu karya tempatan.

“Matlamat kami pada awalnya mudah, iaitu menghasilkan cerita yang dekat dengan penonton. Namun, apabila menceburi perniagaan ini, kami menyedari bahawa animasi sahaja tidak mencukupi.

“Kami perlu membangunkan ekosistem lain, termasuk barangan dagangan. Hakikatnya, perniagaan ini bukan sekadar animasi, tetapi turut melibatkan pengurusan harta intelek dan hak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi forum Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Masa Hadapan Antarabangsa (iFuture) 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL), di ibu negara hari ini.

Perkara itu selari dengan hasrat Belanjawan 2027 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu dengan peruntukan lebih RM130 juta bagi menyokong sektor perfileman, muzik dan kandungan kreatif tempatan.

Mengenai kejayaan pembangunan hartanah, Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures Sdn. Bhd, Datuk Ir. Ts. Izwan Hasli Mohd Ibrahim menyifatkan ia bukan hanya bergantung kepada pembinaan bangunan ikonik semata-mata, sebaliknya turut dinilai berdasarkan nilai komersial, manfaat kepada kawasan sekeliling dan impak sosial.

“Mandat saya dalam pembangunan Merdeka 118 adalah untuk membangunkan sebuah presint bertaraf global yang berteraskan warisan Malaysia.

“Pembinaan bangunan dan aset yang hebat sahaja tidak mencukupi. Kita perlu memastikan pembangunan itu berfungsi dengan baik, bukan sahaja dari segi komersial, tetapi juga berdasarkan sejauh mana ia mampu memberi manfaat kepada kawasan sekitarnya,” katanya.

Sesi forum itu membincangkan peranan kreativiti dan kepimpinan dalam menjana nilai ekonomi serta manfaat sosial melalui pembangunan industri kreatif dan sektor hartanah.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.