
KUALA LUMPUR, 12 Oktober – Semua sekolah di Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Putrajaya ditutup pada Selasa (13 Oktober) susulan situasi jerebu semasa.
- Penutupan turut melibatkan sekolah di PPD Hulu Langat, Petaling Perdana, Kuala Langat dan Sepang di Selangor serta PPD Kuantan dan Rompin, Pahang.
- Sekolah di Kuala Lumpur, Labuan, Kedah, Kelantan, Perlis, Pulau Pinang, Perak, Terengganu, Sabah dan Sarawak beroperasi seperti biasa.
- Sekolah yang beroperasi diminta memantau aktiviti luar mengikut keadaan kualiti udara semasa.
- Ibu bapa, murid dan warga sekolah dinasihatkan memakai pelitup muka sesuai serta mengikuti makluman rasmi daripada sekolah, PPD dan JPN.
Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek menerusi hantaran Facebook memaklumkan, penutupan turut melibatkan sekolah bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Langat, Petaling Perdana, Kuala Langat dan Sepang di Selangor serta sekolah di PPD Kuantan dan Rompin, Pahang.
“Sekolah di Kuala Lumpur, Labuan, Kedah, Kelantan, Perlis, Pulau Pinang, Perak, Terengganu, Sabah dan Sarawak beroperasi seperti biasa. Begitu juga sekolah di daerah lain di Selangor dan Pahang yang tidak terlibat dengan penutupan.
“Bagi sekolah yang beroperasi seperti biasa, pihak sekolah diminta memastikan aktiviti luar dipantau mengikut keadaan kualiti udara semasa,” menurut hantaran Facebook hari ini.
Dalam pada itu, ibu bapa, murid dan warga sekolah dinasihatkan supaya memakai pelitup muka yang bersesuaian apabila berada di luar khususnya di kawasan terjejas akibat jerebu.
Semua pihak juga diminta mengikuti makluman rasmi daripada pihak sekolah, PPD dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) masing-masing bagi mendapatkan perkembangan terkini.