Belanjawan 2027: Peruntukan sektor pelancongan wajar dipertingkat

Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 September – Peruntukan bagi sektor pelancongan wajar dipertingkat dalam Belanjawan 2027 bagi memastikan usaha mempromosi Malaysia dapat dilaksana dengan lebih agresif dan berimpak khususnya sepanjang Tahun Melawat Malaysia 2026-2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • Industri menuntut sokongan kewangan dan kerjasama untuk kekal berdaya saing serta mempromosikan Tahun Melawat Malaysia.
  • Pertumbuhan ketibaan pelancong antarabangsa menyokong sasaran 47 juta ketibaan bagi 2026.
  • Pelancongan domestik meningkat, didorong rakyat memilih destinasi dalam negara pada hujung minggu dan cuti panjang.
  • Inisiatif pakej EDU+ 2.0, EatVenture dan Taste of Orchard tawarkan 118 pakej, manfaatkan komuniti serta PMKS.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim berkata, langkah itu bukan sahaja berupaya menarik lebih ramai pelancong, malah memperluas manfaat ekonomi kepada pemain industri dan masyarakat setempat.

Jelas beliau, perkara tersebut antara yang dibangkitkan pemain industri berkenaan menerusi sesi libat urus yang diadakan bersama pihaknya.

“Untuk kekal berdaya saing, kita memerlukan suntikan dalam bentuk kewangan serta kerjasama dengan penggiat industri pelancongan.

“Itu yang penting dan menjadi harapan saya selaku pihak yang mengetuai promosi Tahun Melawat Malaysia,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Pakej Edu+ 2.0, Eatventure dan Pakej Taste Of Orchard, di sini.

Mengulas lanjut, Mohd Amirul Rizal berkata, keperluan terhadap sokongan kewangan lebih kukuh turut disandarkan kepada prestasi sektor pelancongan yang terus menunjukkan perkembangan positif, termasuk ketibaan 21 juta pelancong antarabangsa bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

Jumlah itu meningkat 2.5 peratus berbanding 20.6 juta pelawat dalam tempoh sama tahun lalu, sekali gus menyokong usaha negara mencapai sasaran 47 juta ketibaan pelawat antarabangsa bagi 2026.

“Pelancongan domestik turut mencatat pertumbuhan apabila jumlah pelawat tempatan bagi suku pertama 2026 meningkat 7.2 peratus kepada 74.7 juta orang berbanding 69.7 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

“Trend itu didorong kecenderungan rakyat memilih destinasi dalam negara untuk bercuti, terutama pada hujung minggu, cuti umum dan tempoh cuti lebih panjang,” katanya.

Selain itu, sektor pelancongan turut menyumbang kira-kira 15 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), selain merancakkan aktiviti ekonomi merentasi pelbagai bidang termasuk perhotelan, makanan dan minuman serta pengangkutan.

Mengulas mengenai Pakej EDU+ 2.0, EatVenture dan Taste of Orchard, Mohd Amirul Rizal berkata, ketiga-tiga inisiatif itu memperluas pilihan pengalaman kepada pelancong domestik dan antarabangsa.

Menurut beliau, sebanyak 118 pakej diperkenal merangkumi 29 pakej EDU+ 2.0, 23 pakej gastronomi EatVenture serta 66 pakej agropelancongan menerusi Taste of Orchard.

Pakej berkenaan mengetengahkan pengalaman berasaskan pendidikan, kulinari, kebudayaan, alam semula jadi serta komuniti setempat, selaras perubahan corak permintaan pelancong masa kini.

Ia dijangka menggalakkan pelawat meneroka lebih banyak destinasi dan memanjangkan tempoh penginapan, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada pemain industri, komuniti luar bandar serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.