Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026: Atlet karate wanita sumbang emas ketiga

Foto Facebook dari Majlis Sukan Negara Malaysia

NAGOYA, 23 September – Atlet karate wanita negara, C. Shahmalarani menyumbang pingat emas ketiga kepada kontinjen Malaysia selepas mengungguli acara kumite wanita bawah 50 kilogram (kg) pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Shahmalarani menang final kumite bawah 50kg ke atas wakil Hong Kong melalui keputusan juri selepas 0-0.
  • Shahmalarani tewaskan Gulshan Alimardanova 3-2 pada separuh akhir untuk mara ke final.
  • Skuad kata berpasukan lelaki raih pingat gangsa selepas menewaskan Vietnam; mereka tewas kepada Kuwait pada separuh akhir.

Shahmalarani, yang membuat penampilan kedua pada temasya itu menewaskan wakil Hong Kong, Tsang Yee Ting menerusi keputusan juri selepas kedua-dua atlet terikat 0-0 pada aksi final di Gimnasium Toyohashi.

Atlet negara itu terlebih dahulu menyingkirkan wakil Uzbekistan, Gulshan Alimardanova 3-2 pada separuh akhir untuk mara ke final.

Kemenangan itu turut menjadi detik manis buat Shahmalarani selepas tewas kepada Alimardanova pada final Kejohanan Dunia di Cairo, Mesir tahun 2025.

Shahmalarani memulakan kempen dengan kemenangan 8-0 ke atas Fong Man Wai dari Macau pada pusingan pertama sebelum mengatasi wakil Bangladesh, Saiama Jaman 5-4 dalam aksi suku akhir.

Sementara itu, Malaysia turut meraih gangsa dalam acara kata berpasukan lelaki selepas menewaskan Vietnam dalam aksi penentuan pingat gangsa.

Skuad negara sebelum itu tewas kepada Kuwait pada peringkat separuh akhir selepas menerima ‘bye’ dan tidak perlu beraksi di suku akhir.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.