
NAGOYA, 23 September – Jaguh e-sukan negara, Taj Izrin Aiman Taj Madira, mencipta kejutan sensasi apabila menghadiahkan pingat emas kedua buat kontinjen Malaysia pada temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 menerusi acara Gran Turismo 7 (GT7) di Aichi Sky Expo pada Rabu.
- Hanya menyasarkan layak ke final dan berpeluang podium, kejayaan melebihi jangkaan
- Menghadapi kesilapan awal kerana kurang latihan bersama jentera pada peringkat separuh akhir
- Bawa set simulator ke bilik hotel untuk latihan intensif sendiri bagi memperbaiki prestasi
- Kawalan emosi dan teknik pernafasan jurulatih menjadi kunci bangkit dan mencapai kejayaan
Kemenangan bersejarah itu dilakar di luar jangkaan selepas beliau dan pihak persatuan pada awalnya tidak meletakkan sasaran kilauan emas, sebaliknya hanya menyasarkan untuk mara ke peringkat akhir dan merebut sebarang kedudukan podium.
Taj Izrin mengakui, perjalanannya tidak mudah apabila berdepan kesilapan awal pada peringkat separuh akhir akibat kekurangan sesi latihan bersama jentera yang digunakan.
Bagaimanapun, komitmen tinggi menyaksikan beliau mengambil inisiatif sendiri membawa set simulator ke bilik hotel untuk terus menjalani latihan intensif.
”Pertama sekali, terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MASF). Sejujurnya, saya tak sangka akan sampai ke tahap ini.
”Sasaran kami memang ke final dan mungkin dapat pingat, tetapi pingat emas itu tak pernah terfikir. Kami cuma terus fokus dan alhamdulillah rezeki memihak kepada kita,” katanya ketika ditemui selepas perlumbaan.
Mengulas mengenai saingan sengit di litar virtual, Taj Izrin menyifatkan teknik kawalan emosi dan pernafasan yang dipelajari daripada barisan kejurulatihan menjadi kunci kejayaannya menundukkan pelumba ternama dunia, termasuk wakil dari Jepun, Arab Saudi, dan Indonesia.
”Tekanan memang ada di pentas Sukan Asia. Bagaimanapun, pengalaman bertanding dalam perlumbaan sebenar serta bimbingan jurulatih termasuk bekas juara dunia dari Perancis banyak membantu.
”Jurulatih saya (Alex) sentiasa berpesan supaya kekal tenang dan mengajar teknik pernafasan. Walaupun sempat turun ke kedudukan P4 dan P5, moto ‘tetap tenang’ membolehkan saya bangkit semula sehingga mengesahkan P1 pada perlumbaan penentuan,” katanya.
Menariknya, penampilan Taj Izrin turut mencuri tumpuan apabila beliau memilih untuk berlumba secara berkaki ayam tanpa mengenakan kasut perlumbaan seperti kebiasaan.
Menurutnya, keputusan spontan itu diambil kerana beliau berasa lebih selesa dan berupaya mengawal tekanan pedal brek dengan lebih peka dalam keadaan suhu di venue pertandingan.
Selepas kejayaan manis di bumi Jepun, Taj Izrin bakal mengalihkan fokusnya ke pameran GT World Series di Singapura pada Oktober depan, sebelum memburu tiket kelayakan ke temasya berprestij Nation Cup dan Manufacturer Cup tahun hadapan.
Ditanya mengenai perancangan wang ganjaran kemenangan yang bakal diterimanya, atlet muda ini secara berseloroh menyatakan hasrat untuk menjadikannya sebagai tabung simpanan masa depan dan persediaan mendirikan rumah tangga.
“Tak pernah terfikir lagi setakat ini. Tapi kalau boleh, saya nak buat simpanan masa hadapan termasuk persiapan perkahwinan saya,” katanya.
Terdahulu, Pelumba berusia 27 tahun itu tenang mempamerkan pemanduan penuh disiplin sepanjang tiga perlumbaan sebelum mengesahkan kejuaraan dengan mengumpul keseluruhan 36 mata.
Beliau mengekalkan fokus untuk mengumpul mata penting pada setiap perlumbaan dengan menamatkan perlumbaan pertama dan kedua di tempat kedua sebelum bangkit meraih petak pertama pada perlumbaan terakhir.
Kejayaan itu menyaksikan Izrin Aiman menampilkan kebangkitan pada perlumbaan terakhir untuk memastikan kutipan mata keseluruhan yang mencukupi bagi mengesahkan kejuaraan.
Pingat tersebut merupakan emas kedua kontinjen negara setakat ini selepas kejayaan menerusi atlet karate wanita negara, Adeola Fay Robert, pada Selasa.
Kem e-sukan negara berpeluang untuk menambah kilauan pingat selepas Malaysia mengesahkan tempat ke pusingan separuh akhir acara e-football petang Rabu.
Malaysia dijadual menentang Uzbekistan dalam pusingan itu, sementara aksi final akan berlangsung pada malam Rabu.