Sukan Asia: Shahmalarani dedikasi pingat emas buat barisan jurulatih kebangsaan

Foto Facebook dari Majlis Sukan Negara Malaysia

NAGOYA, 23 September – Jaguh karate wanita negara, C. Shahmalarani mendedikasikan pingat emas yang dimenanginya selepas mengungguli acara kumite wanita bawah 50 kilogram (kg) kepada seluruh barisan jurulatih kebangsaan dan negeri Selangor, rakan sepasukan serta atlet junior yang sentiasa menyuntik semangat dan tenaga positif kepadanya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Final berkesudahan 0-0, kemenangan ditentukan melalui hantei selepas pelan taktikal rapi daripada Shahmalarani dan jurulatih.
  • Menewaskan Gulshan Alimardanova 3-2 di separuh akhir dan membalas kekalahan final Dunia di Kaherah tahun lalu.
  • Kejayaan lahir daripada pengorbanan masa, tenaga, komitmen harian dan ketahanan mental walau berdepan kecederaan.

​Kejayaan manis itu sekali gus menebus kekecewaan penampilan sulungnya pada edisi lalu yang menyaksikan beliau terkandas di peringkat suku akhir.

​​”Memang sangat gembira dan bersyukur. Orang selalu kata setiap perkara ada masanya, dan masa adalah jawapannya. Saya rasa inilah masa saya untuk menyerlah dan memegang pingat emas buat negara. Pingat ini sangat penting untuk Malaysia, lebih-lebih lagi menjadi emas ketiga kontinjen kita,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Aksi final berlangsung sengit apabila kedudukan terikat tanpa jaringan 0-0 sehingga tamat masa perlawanan, memaksa penentuan dibuat menerusi keputusan pengadil (hantei).

​Mengulas mengenai situasi mendebarkan ketika perlawanan terikat 0-0, atlet kelahiran Selangor itu mengakui keputusan hantei amat berisiko, namun beliau dan barisan jurulatih telah bersedia dengan pelan taktikal yang rapi.

​”Bila melibatkan hantei, ia bergantung kepada keputusan pengadil yang menilai dari sudut teknikal dan taktikal tentang siapa yang mengawal pertarungan dengan lebih baik.

​”Sejujurnya, memang kami tak mahu sampai ke tahap hantei sebab risikonya 50-50, tetapi kedua-dua kami sangat berhati-hati. Walaupun begitu, saya banyak mengambil inisiatif melakukan serangan dan saya percaya jika ini sudah tertulis untuk saya, Tuhan telah kurniakan rezeki ini,” jelasnya lagi.

Atlet negara itu terlebih dahulu menyingkirkan wakil Uzbekistan, Gulshan Alimardanova 3-2 pada separuh akhir untuk mara ke final.

Kemenangan itu turut menjadi detik manis buat Shahmalarani selepas tewas kepada Alimardanova pada final Kejohanan Dunia di Cairo, Mesir tahun lepas.

​Bercakap mengenai pengorbanan di sebalik kejayaan bersejarah ini, Shahmalarani menyifatkan masa, tenaga, serta komitmen harian yang dicurahkan tanpa henti dalam sukan karate menuntut ketahanan mental yang luar biasa.

​”Pengorbanan terbesar pastinya masa. Setiap hari hidup saya adalah karate, tiada masa untuk keluarga mahupun kehidupan sosial biasa.

​”Berdepan kecederaan, kembali pulih dan terus melangkah ke sesi latihan walaupun ada rasa ragu-ragu dalam diri, itulah fasa paling sukar sepanjang perjalanan ini,” jelasnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.