
WASHINGTON, 23 April – Seorang utusan khas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dilaporkan telah meminta badan induk bola sepak dunia, FIFA, untuk menggantikan tempat Iran dengan Itali dalam saingan Piala Dunia akan datang, lapor Financial Times (FT) pada Rabu.
- Cadangan dilihat sebagai usaha diplomatik memulihkan hubungan antara Trump dan Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni, selepas perselisihan berhubung kritikan terhadap Pope.
- Utusan Khas Paolo Zampolli mengesahkan beliau mengemukakan cadangan itu kepada Trump dan Presiden FIFA, Gianni Infantino.
- Zampolli berkata Itali berstatus empat kali juara dunia dan beliau bermimpi melihat Azzurri beraksi di kejohanan yang dihoskan oleh AS.
- White House, FIFA, FIGC dan FFIRI belum memberi ulasan rasmi; Iran pula menegaskan terus membuat persiapan dan mempertimbangkan permohonan pemindahan lokasi.
Cadangan tersebut dilihat sebagai usaha diplomatik bagi memulihkan hubungan antara Trump dengan Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni, selepas kedua-dua pemimpin itu berselisih faham susulan kecaman presiden AS itu terhadap Pope Leo XIV berkaitan isu peperangan di Iran.
Utusan Khas AS, Paolo Zampolli, mengesahkan kepada FT bahawa beliau telah mengemukakan cadangan berkenaan kepada Trump dan Presiden FIFA, Gianni Infantino.
“Saya mengesahkan telah mencadangkan kepada Trump dan Infantino agar Itali menggantikan Iran di Piala Dunia. Sebagai anak jati Itali, ia merupakan satu impian untuk melihat Azzurri beraksi dalam kejohanan yang dihoskan oleh AS.
“Dengan empat gelaran juara dunia, mereka mempunyai kredibiliti dan ‘pedigree’ yang kukuh untuk mewajarkan penyertaan tersebut,” kata Zampolli seperti yang dipetik oleh akhbar berkenaan.
Setakat ini, pihak White House, FIFA, Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC) dan Persekutuan Bola Sepak Iran (FFIRI) masih belum memberikan sebarang ulasan rasmi berhubung laporan itu.
Itali sebelum ini mengejutkan dunia sukan pada Mac lalu apabila gagal melayakkan diri ke piala dunia buat kali ketiga berturut-turut selepas tewas 4-1 menerusi penentuan sepakan penalti kepada Bosnia dan Herzegovina dalam perlawanan akhir play-off kelayakan.
Dalam pada itu, Iran dalam satu kenyataan pada Rabu menegaskan bahawa mereka sedang giat melakukan persiapan dan tetap merancang untuk menyertai kejohanan berprestij itu.
Terdahulu pada April, Iran menyatakan bahawa keputusan akhir mengenai penyertaan mereka hanya akan dibuat selepas menerima maklum balas daripada FIFA berhubung permohonan untuk memindahkan lokasi perlawanan mereka dari Amerika Syarikat ke Mexico. – REUTERS