
KUALA LUMPUR, 24 April– Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia mengesahkan lokasi kemalangan maut di Batu 21, Jalan Tapah menghala Cameron Highlands, pada Khamis (23 April) telah tersenarai dalam permohonan pemasangan penghadang jalan bagi tahun ini.
- Delineator string dipasang sebagai langkah keselamatan sementara semasa kejadian.
- Rondaan pemeriksaan rutin mendapati tiada rekod kerosakan jalan; pihak konsesi melaksanakan kerja rutin menurut obligasi kontrak.
- JKR menzahirkan dukacita, komited memantau keadaan dan melaksanakan pembaikan segera dengan sokongan Kementerian Kerja Raya.
JKR dalam satu kenyataan memaklumkan lokasi di Seksyen 35.50 (FT059) itu berada dalam Anggaran Penyenggaraan Jalan (APJ) 2026 dan kini sedang menunggu kelulusan bagi kerja-kerja pemasangan tersebut.
“Sebagai langkah keselamatan sementara, delineator string (penanda garisan) telah tersedia dipasang di lokasi berkenaan semasa kejadian berlaku.”
“Pihak JKR akan terus memantau keadaan jalan di kawasan terlibat secara berkala bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berulang,” menurut kenyataan itu, hari ini.
Mengulas mengenai status penyenggaraan jalan, JKR menjelaskan pihak konsesi telah melaksanakan kerja rutin berdasarkan obligasi kontrak yang ditetapkan.
“Hasil rondaan pemeriksaan rutin pada Isnin lalu mendapati tiada sebarang rekod kerosakan jalan atau lubang dikesan di kawasan kemalangan tersebut,” jelas kenyataan itu lagi.
Terdahulu, dalam insiden sekitar pukul 8.00 malam Khamis (23 April), seorang pengguna jalan raya maut di tempat kejadian manakala lima lagi penumpang kenderaan sama mengalami kecederaan dan kini sedang menerima rawatan di hospital.
JKR Malaysia turut menzahirkan rasa dukacita dan ucapan takziah kepada keluarga mangsa, selain menegaskan komitmen untuk melaksanakan tindakan pembaikan segera dengan sokongan Kementerian Kerja Raya (KKR).