
MELAKA, 24 April – Malaysia sedang beralih daripada pendekatan smart cities kepada wise cities dalam pembangunan bandar, sebagai usaha untuk menyeimbangkan pertumbuhan, kelestarian dan keterangkuman dalam menangani cabaran bandar yang semakin kompleks.
- Pendekatan 'wise cities' menekankan pertimbangan adil dalam pengurusan pembangunan, melindungi kesejahteraan alam dan sosial jangka panjang.
- Pendekatan ini membuka peluang ekonomi lebih rancak, akses perkhidmatan meluas serta pengukuhan jaringan sosial dan infrastruktur.
- Bandar perlu sokong komitmen pelepasan karbon sifar bersih 2050 melalui perancangan tenaga cekap dan pemeliharaan sumber untuk generasi akan datang.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pendekatan ‘wise cities’ melangkaui penggunaan teknologi semata-mata, yang menekankan kewajaran pertimbangan dalam mengurus pembangunan sambil memelihara kesejahteraan alam sekitar dan sosial jangka panjang.
Perubahan itu turut membawa pelbagai peluang termasuk pertumbuhan ekonomi yang lebih rancak, akses kepada perkhidmatan yang lebih meluas serta jaringan hubungan sosial dan infrastruktur yang semakin kukuh.
Hampir 80 peratus penduduk Malaysia kini menetap di kawasan bandar, berdepan cabaran yang semakin meningkat untuk mengurus perkembangannya secara lestari sambil memastikan hasil pembangunan yang saksama.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata bandar memainkan peranan penting dalam komitmen negara untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, memandangkan sistem bandar adalah antara pengguna tenaga terbesar.
‘Oleh itu pembangunan bandar tidak lagi boleh dinilai hanya berdasarkan pertumbuhan fizikal atau pencapaian ekonomi semata-mata, sebaliknya perlu dilihat sebagai komitmen berterusan dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat sambil melindungi sumber dan sistem untuk generasi akan datang,’ katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Kongres Dunia
Eastern Regional Organisation for Planning and Human Settlements (EAROPH) Ke-30 di Melaka.
Hadir sama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.