
PUTRAJAYA, 24 April – Tindakan penguatkuasaan dalam ruang digital termasuk sekatan akses laman sesawang dan penurunan kandungan penipuan bagi melindungi pengguna serta pemilik hak cipta terus dipergiat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
- 1,347 laman sesawang disekat melalui sekatan side blocking antara 2025 hingga Mac 2026.
- 746 iklan menyalahi undang-undang diturunkan kerana mencatatkan kes penipuan pasaran digital.
- Iklan palsu termasuk bekalan barang kawalan seperti minyak masak dijual harga tidak munasabah, kuantiti tidak wujud.
- KPDN menjalankan pemantauan 24 jam, menggunakan analisis data dan risikan digital untuk mengesan lokasi operasi sindiket.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, dari tahun 2025 hingga 2026, sebanyak 1,347 laman sesawang telah dikenakan sekatan “side blocking” hasil kerjasama pelbagai platform digital.
Pada masa sama, 746 kandungan iklan yang menyalahi undang-undang turut diturunkan.
Antaranya, melibatkan iklan bekalan barangan kawalan seperti minyak masak pada harga tidak munasabah dan kuantiti yang tidak wujud.
”Tahun lepas sahaja kita telah membuat sekatan ‘side blocking’ terhadap laman-laman sesawang ini dengan kerjasama sebagai platform.
”Angka 746 tersebut merujuk kepada ‘content removal’ ataupun iklan-iklan yang menjadi tumpuan kerana mencatatkan kes melibatkan penipuan dalam dunia pasaran digital,” katanya.
Dalam pada itu, Datuk Azman memaklumkan tindakan penurunan kandungan tersebut turut membantu pihak KPDN mengesan lokasi operasi sindiket penipuan hasil analisis data dan risikan digital.
Beliau dalam pada itu menegaskan, pemantauan dilakukan 24 jam bagi mengesan dan menurunkan kandungan berkenaan sebelum lebih ramai pengguna menjadi mangsa.
KPDN menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh penguatkuasaan digital seiring peningkatan kes penipuan dalam talian yang sering tular di media sosial.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Sempena Pencapaian Pengautkuasaan Ops Tiris tahun 2025 hingga Mac 2026 di Putrajaya.