
BUTTERWORTH, 24 April– Aspek keselamatan siber menjadi keutamaan dalam pelaksanaan projek jalur lebar di Rumah Keluarga Angkatan Tentera (R-KAT) bagi memastikan seluruh ekosistem digital di kawasan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bebas daripada sebarang risiko ancaman.
- Setiap prasarana yang dipasang melalui saringan keselamatan ketat sebelum fasa pelaksanaan.
- Saringan merangkumi sistem siber dan penilaian keselamatan terhadap pasukan pelaksana di lapangan.
- Kementerian, MCMC dan NASA bekerjasama dengan BSEP ATM untuk elakkan pencerobohan; situasi keselamatan dilaporkan terkawal.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menegaskan setiap prasarana yang dipasang telah melalui proses saringan keselamatan yang ketat sebelum fasa pelaksanaan dimulakan.
Jelas beliau, saringan tersebut tidak hanya tertumpu kepada sistem siber, malah merangkumi penilaian keselamatan terhadap pasukan pelaksana yang bertugas di lapangan.
“Aspek keselamatan prasarana ini telah disaring sepenuhnya dan disahkan bebas daripada sebarang ancaman, sekali gus membolehkan gerak kerja diteruskan.”
“Dari sudut keselamatan siber pula, Kementerian Komunikasi, MCMC dan NASA sedang menjalin kerjasama erat dengan Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi memastikan tiada sebarang pencerobohan berlaku. Setakat ini, situasi keselamatan adalah terkawal,” kata Datuk Fahmi kepada pemberita, hari ini.
Beliau ditemui semasa meninjau perkembangan Projek Jalur Lebar Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Kem Pangkalan Udara Butterworth, di sini.